· · · · · ·

Ellie Suriaty Dakwa Hilang ‘Job’ Gara-Gara Video Imran Bard, Rasa Sakit Dia Lain!

Pelakon terkenal, Ellie Suriaty mendakwa dirinya kehilangan beberapa tawaran kerja selepas tularnya video melibatkan dirinya yang dimuat naik oleh pempengaruh media sosial, Imran Bard.

Ellie yang terkenal menerusi drama ‘Syurgamu Ramadan’ mengakui berasa tertekan kerana kehilangan peluang kerja hanya disebabkan video yang disifatkannya sebagai fitnah.

“Saya agak tertekan dengan perkara itu malah saya ada hilang ‘job’. Kita hilang ‘job’ disebabkan video fitnah selepas hampir tiga dekad saya berkhidmat untuk industri kreatif tanah air. Dan pada saya, sakit yang dirasai itu sangat lain,” katanya dalam sesi podcast ‘Bukak Mulut’ bersama Affendy Jailani.

Ellie turut menjelaskan bahawa tindakannya mengadakan sidang media mengenai isu tersebut adalah berasas kerana ia merupakan haknya sebagai penggiat seni untuk bersuara.

“Satu perkara yang ramai tak faham kenapa saya buat sidang media adalah sebab saya adalah penggiat seni kreatif. Macam mana kita nak menjelaskan sesuatu perkara adalah melalui sidang media.

“Dan dalam sidang media itu saya maklumkan yang saya difitnah dan sebagainya. Saya juga menyuarakan yang saya sedang marah dan saya memang berhak untuk marah,” tegasnya.

Sebelum ini, nama Ellie menjadi bualan hangat selepas beliau mendakwa Imran Bard telah mencemarkan namanya menerusi dua hantaran TikTok yang berunsur fitnah.

Susulan itu, Ellie menuntut permohonan maaf daripada Imran termasuk ibu bapa pempengaruh tersebut. Selepas menerima kecaman hebat daripada netizen, Imran akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ellie atas kekhilafannya kerana menyinggung perasaan pelakon tersebut.

Sumber:  Tiktok