· · · · · ·

22 tahun bekorban jaga isteri lumpuh, akhirnya Hidayah failkan cerai terhadap Edika Yusof Akui Sudah Tidak Tinggal Sebumbung

Tiada ribut, tiada angin, namun berita mengenai rumah tangga pelakon terkenal, Edika Yusof menjadi bualan hangat apabila isterinya, Nor Hidayah Yusri disahkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya pada pertengahan Februari lalu.

Fail Cerai Sejak Februari

Peguam yang mewakili Hidayah, Mohd Yazid Hazim, mengesahkan perkara tersebut selepas hadir bagi sebutan pertama kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

“Untuk hari ini adalah sebutan biasa sahaja iaitu sebutan bagi penyerahan dokumen,” jelasnya.

Difahamkan, Edika tidak hadir ke mahkamah kerana dipercayai terlibat dengan urusan kerja dan perkara itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar pihaknya kepada mahkamah.

Mahkamah telah menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Tiada Lagi Persefahaman

Apabila ditanya mengenai punca penceraian, Yazid tidak mendedahkan secara terperinci namun memaklumkan bahawa punca utama adalah tiada persefahaman antara pasangan tersebut.

“Sebab-sebab pemfailan saya tak boleh sebut secara terperinci kerana ia bersifat subjudis kepada pihak defendan,” katanya.

Sudah Tidak Tinggal Serumah

Dalam pada itu, Hidayah enggan memberikan komen lanjut mengenai pemfailan cerai yang dibuat.

“Semua tahu situasi dan keadaan saya. Jadi, kalau sudah sampai ke tahap pergi ke mahkamah sudah tentu ada sebab yang sangat kukuh kenapa saya berbuat demikian.”

Tambahnya lagi, beliau kini sudah tidak tinggal serumah dengan Edika namun tidak mahu mendedahkan sejak bila perkara itu berlaku.

Dulu Dipuji, Kini Cerai?

Sebelum ini, kisah pengorbanan Edika yang setia menjaga Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua mereka sejak 16 tahun lalu pernah meraih perhatian ramai.

Untuk rekod, pasangan ini telah mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq, dan Fereena Nurulhaq.