· · · · · ·

‘Saya tetap Fatimah Rohani, Saya Kawan Dengan Semua Orang’ – Emma Maembong Balas Kecaman ‘Downgrade’, Tegaskan Hidup Tak Perlu Ada Gred

Pelakon popular Emma Maembong akhirnya tampil memberi penjelasan selepas dikritik ramai kerana dikatakan ‘turun taraf’ apabila menjalinkan hubungan rapat dengan seorang individu dikenali sebagai DJ Kidd.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, menegaskan bahawa dia tidak pernah menilai seseorang berdasarkan status atau taraf hidup, malah lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

“Orang cakap saya ‘downgrade’, tapi bagi saya, hidup ini bukan tentang kejar status. Saya tetap Fatimah Rohani. Saya seorang wanita yang impikan kehidupan biasa sebagai seorang suri rumah. Kalau anda fikir saya ‘downgrade’ sebab rapat dengan orang biasa, mungkin anda yang sebenarnya tak ada gred.”

Emma turut menegaskan bahawa dari dulu lagi dia tidak pernah meletakkan sebarang gred dalam berkawan atau mencari pasangan. Menurutnya, hidup terlalu singkat untuk berpura-pura hanya demi kelihatan sempurna di mata masyarakat.

“Saya memang tiada gred. Sebab itu saya berkawan dengan semua orang. Saya tak pandang status, tak pernah pilih dalam berkawan. Saya jadi diri sendiri, bukan untuk puaskan mata orang.”

Tambah Emma lagi, keikhlasan dan kejujuran jauh lebih penting berbanding darjat atau pangkat. Malah, dia tidak menolak kemungkinan selepas ini dia akan berkawan dengan seseorang yang mungkin dianggap lebih ‘biasa’.

“Saya tak kisah. Mungkin selepas ini orang akan cakap lagi saya downgrade. Tapi jodoh itu rahsia Allah. Saya berserah dan tak pernah letak apa-apa gred dalam hidup saya. Itu pilihan saya.”

Sebelum ini, tular foto mesra Emma bersama DJ Kidd ketika bercuti di luar negara yang turut disertakan kapsyen “I will be the best husband for you”, sekali gus mencetuskan spekulasi mereka sudah berkahwin.

Namun Emma tampil menjelaskan hubungan mereka hanya sebagai kawan dan menafikan sebarang ikatan perkahwinan.

Untuk rekod, Emma pernah mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Shazli Azhar pada Februari 2020 dan telah bercerai secara baik pada Oktober tahun lalu. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah.

Emma Maembong