Kerajaan MADANI Umum Diskaun Tol 50% Aidilfitri, Netizen Sindir Tempoh Terlalu Pendek
Kerajaan MADANI membuat pengumuman mengejutkan apabila bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sidang media terbarunya memaklumkan, potongan tersebut akan bermula dari jam 12.01 tengah malam, 28 Mac (Jumaat), dan tamat pada jam 11.59 malam, 29 Mac (Sabtu). Menurut beliau lagi, inisiatif ini dilakukan bagi memberi peluang kepada rakyat merancang perjalanan dengan lebih lancar dan selamat tanpa tergesa-gesa.
Potongan tol ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM19.69 juta yang akan dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi yang terlibat. Namun begitu, diskaun ini hanya terhad kepada kenderaan persendirian (Kelas 1) dan merangkumi hampir semua plaza tol kecuali Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). Walaupun langkah ini dianggap sebagai satu inisiatif yang membantu meringankan beban rakyat, ramai netizen dilihat secara sinis mempertikaikan tempoh diskaun yang dianggap terlalu singkat untuk memberi kesan yang besar kepada pengguna lebuh raya, terutamanya ketika musim perayaan.
Datuk Seri Alexander turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya menyemak baki eWallet dan kad Touch & Go mereka serta merujuk jadual perjalanan yang disediakan syarikat konsesi lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan. Beliau turut mencadangkan orang ramai supaya menggunakan pautan paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia untuk membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih baik sepanjang tempoh tersebut.
Sumber: Bernama