Hafiz Mahamad & Syafiqah Aina Belanja Hampir RM10K Untuk Staf, Netizen Sindir Majikan Kedekut
Pasangan pempengaruh terkenal, Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila membawa hampir 70 orang staf mereka membeli baju raya di butik jenama popular, Bulan Bintang, sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Aksi murah hati pasangan usahawan itu dikongsikan melalui sebuah video oleh pengasas Bulan Bintang, Azzam Zahid atau lebih dikenali sebagai Meri, sekaligus mendedahkan jumlah besar hampir RM10,000 yang dibelanjakan khas untuk pekerja-pekerja mereka.
Dalam video tersebut, pekerja-pekerja dari syarikat milik Hafiz dan Syafiqah, iaitu Ainaa Beauty, kelihatan cukup gembira dan bersyukur dengan perhatian serta layanan yang diberikan majikan mereka. Salah seorang pekerja yang ditemu bual turut meluahkan rasa bertuah bekerja di bawah pasangan itu, kerana bukan sahaja aspek kebajikan sentiasa terjaga malah emosi serta kewangan staf turut diberikan perhatian penuh sepanjang hampir enam tahun dia berkhidmat. Walaupun perkongsian itu menerima pujian ramai, ada juga netizen yang mula menyindir secara sinis majikan lain yang dilihat tidak bermurah hati atau menjaga kebajikan pekerja mereka seperti mana Hafiz dan Syafiqah lakukan.
Kisah pasangan usahawan popular ini sekali lagi mencetuskan perbualan hangat di media sosial apabila netizen mula membandingkan layanan istimewa mereka terhadap pekerja dengan situasi yang sering berlaku dalam kalangan majikan lain di luar sana.
Sumber : Tiktok