Penduduk 20 Tahun Di Putra Heights Berang, Dedah Punca Sebenar Paip Gas PETRONAS Meletup
Tragedi kebakaran saluran paip gas PETRONAS di Putra Heights, Subang Jaya, yang berlaku pada pagi 2 Syawal lalu mencetuskan kecoh dan spekulasi dalam kalangan netizen. Seorang penduduk tempatan yang sudah lebih 20 tahun menetap di situ tampil bersuara membidas komen warga maya yang membuat pelbagai andaian tidak tepat tentang insiden tersebut. Melalui hantaran Facebook yang mendapat perhatian ramai, individu dengan nama akaun @diana.ishak menyelar netizen yang menyalahkan pemaju dan penduduk setempat kerana kononnya memilih untuk tinggal berdekatan kawasan berisiko.
Jelasnya, sepanjang dua dekad tinggal di kawasan perumahan Putra Avenue, kawasan saluran paip gas tersebut sentiasa berpagar dan mempunyai jarak yang selamat dari kawasan kediaman penduduk. Namun, situasi mula berubah sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila sebuah projek pembinaan lot kedai (shop lot) mula dibangunkan terlalu hampir dengan kawasan paip gas berkenaan. Menurutnya lagi, perkara ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, bahkan aduan rasmi turut pernah dibuat, namun tiada tindakan jelas daripada pihak berkuasa. Dia juga mendakwa kebakaran itu bukan berpunca daripada kecuaian penduduk atau PETRONAS, sebaliknya dipercayai akibat gangguan terhadap kawasan paip berpagar tersebut oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, lima buah rumah di kawasan Putra Harmoni yang agak jauh daripada lokasi kejadian turut musnah terbakar akibat api yang merebak dan serpihan api dibawa angin. Dia turut memuat naik gambar jelas yang membandingkan kedudukan asal kawasan paip gas dan kedai baru yang dibina, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pembangunan baru itulah yang sebenarnya menjadi risiko utama kejadian malang ini berlaku.