· · ·

Syasya Rizal Dedah Suami Jadi ‘Penasihat Fesyen’, Kongsi Gaya Tudung Viral di TikTok

Hampir setahun tampil dengan imej berhijab, penyanyi muda Syasya Rizal kini mendedahkan rahsia utama di sebalik penampilannya yang kekal bergaya setiap hari—rupa-rupanya ia berpunca daripada sokongan padu suaminya sendiri! Syasya yang sebelum ini terkenal dengan imej seksi mengakui bahawa dorongan dan pujian berterusan daripada suaminya, Nasrullah Mohd Sapie menjadi antara punca utama dia kekal istiqamah dalam berhijab. Lebih menarik, suaminya itu aktif mencari idea gaya tudung cantik di platform TikTok, sebelum berkongsinya dengan Syasya untuk digayakan.

Menurut Syasya, sikap Nasrullah yang rajin memberikan idea gaya tudung popular itu membuatkan dirinya lebih bersemangat dan teruja mencuba pelbagai stail baharu setiap hari. Syasya turut mengakui pujian kecil seperti “cantik bertudung” yang kerap diucapkan suami sudah cukup menaikkan semangatnya untuk kekal konsisten berhijab. Selain itu, Syasya yang kini selesa dengan imej baharunya ini menegaskan bahawa berhijab tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif dalam dunia seni, sebaliknya dia hanya perlu lebih bijak menapis tawaran agar sesuai dengan imej yang dibawanya kini.

Dalam pada itu, Syasya turut menekankan pentingnya berfikiran positif serta berusaha menjaga niat dalam setiap tindakan, selain menghargai sokongan keluarga dan orang sekeliling sebagai kunci utama istiqamah. Terdahulu, Syasya mengejutkan ramai apabila mengumumkan pengundurannya dari kumpulan Dolla pada April 2024 sebelum tampil dengan imej sopan berhijab yang kini menjadi perhatian peminat.