· · ·

Gaji Masih Tertunggak, Tapi KDA FC Umum Rundingan Bawa Ricardo Quaresma Sertai Liga Super Musim 2025/26

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengejutkan arena bola sepak tanah air apabila mengumumkan perancangan untuk membawa legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma menyertai pasukan Sang Kenari musim depan.

Walaupun kelab itu masih dibelenggu isu gaji pemain yang belum dijelaskan sepenuhnya, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, menerusi kenyataan rasmi di laman sosial kelab, mendedahkan bahawa perbincangan dengan Quaresma telah bermula sejak Mac 2025 lagi.

Ditaja Sepenuhnya Oleh Penaja Antarabangsa

Menurut Tan Sri Daud Bakar, rundingan tersebut turut melibatkan pihak penaja luar negara yang bersedia menanggung sepenuhnya kos membawa Quaresma ke bumi Darul Aman.

“Perbincangan bersama pihak Ricardo Quaresma dan juga pihak penaja luar negara telah berjalan sejak Mac 2025. Jika semuanya berjalan lancar, semua perbelanjaan akan ditanggung pihak penaja — bukan dana dalaman KDA FC.”

Beliau menegaskan bahawa ini adalah satu penghormatan besar buat KDA FC dan membuktikan kelab masih lagi relevan di mata pelabur antarabangsa, walaupun pelbagai spekulasi menyatakan KDA FC sedang bergelut dan hampir ‘terkubur’.

Baca Juga :Pemuda Tersesat 6 Jam Akibat Menggunakan Waze, Kebingungan menangis tak jumpa jalan keluar

Baca juga :“Nikmati Pesona ‘Switzerland Kedah’ di Sky View Puncak Gunung Jerai

Masih Ada Harapan Buat Sang Kenari

Pemilik kelab itu turut meluahkan rasa optimis bahawa KDA FC masih mampu bangkit, dengan syarat mendapat sokongan berterusan dari penyokong dan masyarakat bola sepak tempatan.

“Ramai anggap KDA FC sudah tamat. Tapi selagi ada peluang, kami akan terus berusaha. Sokongan anda sangat kami perlukan untuk terus bernyawa,” tambahnya.

Sebagai penutup, Tan Sri Daud turut menjemput orang ramai hadir ke Stadium Darul Aman pada 3 Mei 2025 bagi menyaksikan perlawanan persahabatan All Star Kedah vs All Star Malaysia yang bakal menampilkan Ricardo Quaresma secara eksklusif.

Sumber : Facebook

Author : Ahmad Tarziman