· · ·

Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli Belah

Sultan Selangor Tidak Perkenankan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli Belah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana mana surau atau musolla di pusat beli belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat buat masa ini. Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri dalam menentukan perkara berkaitan pentadbiran agama Islam, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla. Menurut beliau, urusan berkaitan masjid dan surau berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

MAIS Jelaskan Sebab Cadangan Tidak Diperkenankan

Kenyataan itu dikeluarkan susulan cadangan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli belah di seluruh negara. Menurut Salehuddin, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana mana bangunan sebagai masjid, surau atau tempat beribadah tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Beliau berkata, kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau tempat beribadah di pusat beli belah berpotensi menjejaskan usaha memakmurkan serta mengimarahkan masjid kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid dan surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat berkurangan apabila umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan ibadah di pusat beli belah.

Selangor Mempunyai Masjid Dan Surau Yang Mencukupi

Menurut MAIS, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau di Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan. Selain itu, kebanyakan pusat beli belah juga terletak berhampiran masjid atau surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat sekali gus memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa solat Jumaat merupakan ibadah yang penting dan lebih sesuai didirikan di masjid atau surau yang dibina khusus untuk tujuan ibadah berbanding di surau atau tempat beribadah di pusat beli belah. Tambahnya lagi, pusat beli belah lazimnya merupakan lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi yang dikunjungi masyarakat pelbagai kaum dan agama, manakala tempoh waktu rehat bagi umat Islam yang bekerja juga mencukupi untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau berhampiran.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit :  Mais Selangor

Video : 


Tarziman — 8/07/2026,  04.34PM