MB Selangor Arah Roboh Penempatan Haram Warga Asing Di Setia Alam, Mahu Tindakan Segera
MB Selangor Mahu Tindakan Segera

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan tindakan segera diambil terhadap kewujudan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam yang dipercayai sudah wujud sejak puluhan tahun lalu. Memetik laporan Sinar Harian, arahan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan (MTKN) Negeri Selangor memutuskan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap sebarang pencerobohan tanah. Menurut Amirudin, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengeluarkan notis kepada pemilik tanah sebelum tindakan lanjut diambil.
Penempatan Didakwa Masih Wujud
Sebelum ini, media melaporkan ratusan penempatan haram yang dipercayai didiami ribuan warga asing masih wujud di kawasan pinggir Shah Alam walaupun beberapa operasi penguatkuasaan telah dijalankan. Tinjauan di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman turut mendapati penempatan itu dibina di kawasan ladang kelapa sawit. Dalam masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini sedang menyiasat dakwaan tersebut walaupun operasi penguatkuasaan pernah dilaksanakan pada awal April lalu. Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi akan dijalankan jika siasatan mengesahkan dakwaan itu.
Pencerobohan Tanah Akan Diambil Tindakan
Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah tanpa mengira siapa yang terlibat. Katanya, jika kawasan itu merupakan tanah kerajaan, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan. Manakala jika ia membabitkan tanah persendirian, pemilik tanah perlu mengambil tindakan terlebih dahulu. Beliau turut menjelaskan isu tersebut bukan hanya membabitkan warga asing, sebaliknya kerajaan negeri akan bertindak terhadap semua bentuk pencerobohan tanah.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.