Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap mengenai isu RM12 bilion yang dikaitkan dengan Tabung Haji.
· ·

“Memang Ada Sakau Dalam Tabung Haji, RM12 Bilion Hilang” – Anwar

Anwar Sekali Lagi Pertahankan Istilah ‘Sakau’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap mengenai isu RM12 bilion yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempertahankan penggunaan istilah ‘sakau’ ketika bercakap mengenai kepincangan yang dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji (TH). Ketika berucap di Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Anwar berkata beliau sedar ada pihak yang kurang senang dengan istilah tersebut. Namun, beliau mempersoalkan kehilangan RM12 bilion yang dibangkitkan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH. “Saya nak ulang di Melaka, memang ada sakau dalam TH, RM12 bilion hilang itu bukan sakau?” katanya. Menurut Anwar, keputusan untuk mendedahkan laporan berkenaan dibuat oleh Jemaah Menteri tanpa bantahan. Malah, katanya, terdapat cadangan supaya penelitian tidak dihentikan setakat 2020 sahaja.

“Yang Menyakau Sesetengah, Tapi Rakyat Kena Tanggung”

Menurut Anwar, sekiranya berlaku penyelewengan amanah, kesannya bukan hanya melibatkan individu tertentu tetapi akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat. Beliau berkata hanya segelintir pihak yang didakwa melakukan perbuatan tersebut, namun seluruh rakyat Malaysia menanggung kesannya tanpa mengira kaum atau agama. Dalam ucapannya, Anwar turut berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya usaha membongkar kepincangan tidak berakhir dengan TH sahaja. Menurutnya, penelitian juga perlu diteruskan terhadap agensi lain termasuk Felda. Bagaimanapun, Anwar menegaskan perkara itu tidak bermaksud seseorang boleh terus dihukum berdasarkan tuduhan semata-mata. Sebaliknya, badan penguatkuasaan perlu menjalankan siasatan secara profesional sebelum tindakan diambil.

Salah Tetap Kena Tindakan Tak Kira Parti Mana

Anwar turut menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan perlu mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melakukan kesalahan tanpa melihat kedudukan atau latar belakang politik mereka. “Tidak kira dari parti mana, salah, tangkap dan dakwa,” katanya. Pada masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa tindakan terhadap kes berprofil tinggi didorong oleh dendam politik. Menurut Anwar, beberapa siasatan besar termasuk berkaitan 1MDB sudah bermula sebelum beliau menerajui kerajaan. Beliau berkata kerajaan tetap akan menerima kritikan sama ada mengambil tindakan ataupun tidak. Namun, kritikan itu tidak akan menghalang kerajaan daripada mengambil tindakan lebih tegas terhadap penyelewengan harta rakyat.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit : THE EDGE

Video : 


Tarziman — 4:45PM