· · · · · ·

Citigroup Hampir Terjebak Skandal Kewangan RM381.5 Trilion Akibat Kesilapan Pemindahan Wang

Kesilapan ini, yang dianggap sebagai ‘near miss’, berlaku akibat kesalahan input manusia serta sistem bank yang kurang mesra pengguna.

Apa Sebenarnya Berlaku?

Insiden ini berlaku pada April tahun lepas dan mula didedahkan oleh Financial Times (FT) baru-baru ini. Kesilapan berpunca daripada kombinasi kesalahan pekerja dan kekurangan dalam sistem bank.

Pada asalnya, Citigroup hanya perlu memindahkan RM378 (US$280) ke akaun pelanggan melalui empat transaksi kecil. Namun, sistem bank menolak transaksi tersebut, menyebabkan seorang pekerja perlu memasukkan data secara manual menggunakan program yang jarang digunakan.

Ketika mengisi borang transaksi, program tersebut telah memaparkan 15 angka sifar secara automatik dalam ruangan jumlah. Malangnya, pekerja tersebut gagal memadamkan angka tersebut, menyebabkan jumlah yang dihantar melonjak kepada US$81 trilion (RM109 trilion).

Kesilapan Yang Terlepas Pandang

Lebih membimbangkan, kesilapan besar ini tidak disedari oleh dua pekerja yang bertanggungjawab menyemak transaksi sebelum diluluskan.

Pekerja pertama di bahagian pembayaran tidak menyedari angka yang luar biasa besar itu.

Pegawai kedua yang perlu membuat semakan akhir juga gagal mengesan kesilapan tersebut sebelum transaksi diproses.

Nasib baik, seorang pekerja ketiga menyedari sesuatu yang pelik pada imbangan akaun bank selepas 90 minit. Setelah menyiasat, mereka mendapati jumlah transaksi terlalu besar dan segera membatalkannya.

Citigroup mengesahkan bahawa tiada wang yang keluar dari bank, dan mereka berjaya membetulkan transaksi tersebut sebelum ia sempat memberi kesan kepada pelanggan.

Bukan Kali Pertama Citigroup Terlibat Dalam Insiden “Near Miss”

Walaupun kes ini berjaya diselesaikan, Citigroup mengakui bahawa mereka telah mengalami 10 insiden “near miss” sepanjang tahun 2024, masing-masing membabitkan jumlah lebih dari RM1.35 bilion.

Pada tahun 2023, jumlah insiden seperti ini adalah 13 kali, membuktikan bahawa masalah sistem dan kawalan risiko Citigroup masih belum diperbaiki sepenuhnya. Bank ini juga telah dikenakan denda sebanyak RM184 juta pada tahun lalu kerana kegagalan dalam pengurusan data dan kawalan risiko.

 

Sumber : The Vocket