· · · · · ·

“Anak Saya Rupanya Kejar Zayn Rayyan Masa Hari Kehilangan, Tapi Saya Tak Tahu!” – Saksi ke 21

Kes kehilangan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin terus menjadi bualan hangat apabila saksi terbaru tampil dengan kenyataan yang agak mengejutkan. Norzaini Zainol, 39, yang merupakan penghuni Apartmen Idaman, Damansara Damai, mendedahkan bahawa anak lelakinya pernah mengejar arwah Zayn pada hari tragedi 5 Disember tahun lalu, namun beliau langsung tidak mengetahui hal tersebut pada awalnya.

Menurut Norzaini, anak lelakinya yang berumur 10 tahun hanya memberitahu secara ringkas bahawa dia sedang mengejar seorang budak sebelum menaiki van sekolah. Norzaini ketika itu menyangka anaknya sekadar bermain-main mengejar rakannya yang lain, tanpa menyangka langsung bahawa yang dikejar adalah Zayn Rayyan. Pendedahan ini dibuat dalam sesi perbicaraan hari ke-11 di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh, dalam kes membabitkan ibu bapa arwah, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Tambah saksi itu lagi, pada hari kejadian sekitar jam 12.05 tengah hari, beliau sendiri melihat kelibat Zayn Rayyan bersama ibunya yang baru pulang dari sekolah sebelum kanak-kanak itu menghilangkan diri. Beliau mengakui biasa melihat dua beranak ini, tetapi tidak pernah mengenali mereka secara dekat. Kehilangan Zayn hanya disedarinya selepas dimaklumkan oleh suaminya sekitar jam 12.45 tengah hari.

Kini, kedua ibu bapa mangsa sedang berhadapan dengan pertuduhan pengabaian mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa kepada hukuman berat jika sabit kesalahan.

 

Sumber: Berita Harian