· · · · · ·

Pengasas Produk & Influencer Kelantan Terpalit Skandal Dadah, Polis Dedah Modus Operandi Licik

Polis Kelantan menggemparkan orang ramai dengan pendedahan mengejutkan bahawa beberapa pengasas produk dan pempengaruh terkenal di negeri itu disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan aktiviti pengubahan wang haram.

Perniagaan Hanya ‘Topeng’ Untuk Jenayah?

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, taktik licik ini dikesan selepas beberapa siri tangkapan besar yang dilakukan sejak tahun 2020. Beliau memaklumkan bahawa sindiket ini menggunakan perniagaan sebagai ‘topeng’ bagi menutup kegiatan haram mereka.

“Kes pertama melibatkan tangkapan seorang pengasas produk bersama dadah bernilai RM5 juta pada tahun 2020. Dari luar, perniagaan mereka kelihatan berjaya, tetapi sebenarnya menjadi helah untuk melindungi aktiviti haram ini,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan satu lagi kes membabitkan tangkapan seorang usahawan kosmetik bergelar Datin pada tahun 2021 yang turut didakwa atas kesalahan mengedar dadah. Modus operandi yang sama turut digunakan — perniagaan dijadikan platform untuk menyembunyikan jenayah mereka.

“Kes ketiga pula membabitkan sindiket dadah yang dikuasai ahli perniagaan di Kelantan sebagaimana yang dilaporkan media pada tahun lalu,” tambahnya.

Cuci Duit Haram Guna Perniagaan?

Lebih mengejutkan, polis turut mengesan aktiviti ‘mencuci’ wang hasil aktiviti dadah melalui rangkaian perniagaan yang dimiliki individu berpengaruh. Mereka dipercayai menggunakan individu lain sebagai ‘proksi’ bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tindakan Tegas Menanti Pelaku

Datuk Mohd Yusoff menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, tidak kira berpangkat atau bergelar, yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini.

“Undang-undang tidak mengenal pangkat atau gelaran. Jika terbabit, tindakan tegas akan diambil. Ini adalah amaran kami di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan anak muda dan pempengaruh yang terbabit dengan jualan dadah,” tegasnya dalam kenyataan di TikTok.

Sumber:  Harian Metro.