KLCC ‘Menyelinap’ Dalam Promosi Pelancongan Indonesia, Netizen Panas Hati!
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila kempen pelancongan Indonesia menggunakan imej Menara Berkembar KLCC dalam bahan promosinya. Tindakan ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap ia seolah-olah menggambarkan KLCC sebagai sebahagian daripada identiti negara jiran itu.
Kecoh Netizen, Apa Sebenarnya Berlaku
Isu ini bermula apabila Kementerian Pelancongan Indonesia memuat naik poster promosi dengan latar belakang ibu kota Kuala Lumpur yang memaparkan Menara KLCC. Dalam bahan promosi tersebut, tertera frasa “Temui Keajaiban Indonesia di TRAVEX ATF 2025” tanpa sebarang penerangan lanjut yang menjelaskan konteks acara tersebut.
Hal ini menimbulkan kekeliruan apabila sebahagian netizen beranggapan Indonesia cuba menuntut KLCC sebagai milik mereka. Perkara ini menjadi bualan hangat hingga mencetuskan pelbagai kecaman terhadap pihak Indonesia.
Betul Ke Indonesia Cuba ‘Claim’ KLCC
Walau bagaimanapun, setelah diselidik, rupanya perkara ini hanyalah satu salah faham.
Menurut keterangan yang disertakan pada kapsyen hantaran tersebut, Indonesia sebenarnya bakal menyertai acara TRAVEX ATF 2025 yang dijadualkan berlangsung di Johor, Malaysia. Oleh kerana acara itu akan diadakan di Malaysia, maka logiklah jika mereka menggunakan imej KLCC sebagai gambaran lokasi acara tersebut.
Untuk makluman, TRAVEX ATF adalah acara tahunan yang mempromosikan rantau ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang bersatu. Ia melibatkan organisasi pelancongan, perniagaan, dan profesional dari negara-negara anggota ASEAN.
Isu Salah Faham yang Tak Sepatutnya Tercetus
Jelas sekali, penggunaan imej KLCC dalam bahan promosi ini bukan bertujuan untuk mendakwa KLCC sebagai milik Indonesia, tetapi sekadar simbolik kerana acara tersebut bakal berlangsung di Malaysia. Namun, sebahagian netizen yang tidak memahami konteks itu terus melenting dan menuduh Indonesia cuba ‘menuntut’ bangunan ikonik tersebut.