MH370 Dah Ditemui? Saintis Dedah Penemuan Mengejutkan di Lautan Hindi!
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak tahun 2014 terus menarik perhatian dunia. Terbaru, seorang saintis yang telah bersara mendakwa berjaya menemui lokasi bangkai pesawat tersebut di Lautan Hindi — sekali gus menghidupkan semula harapan untuk merungkai tragedi ini.
Saintis Temui Anomali di Dasar Lautan Hindi
Dr. Vincent Lyne, bekas penyelidik di Australia Institute for Marine and Antarctic Studies, University of Tasmania, mendakwa penemuannya berpunca daripada analisis data topografi dasar laut global.
Menurutnya, satu piksel aneh yang dilihat dalam data General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO) menunjukkan kemungkinan lokasi pesawat MH370. Dengan menggunakan teknik batimetri (teknik mengukur kedalaman laut), Dr. Lyne mengenal pasti anomali tersebut pada koordinat 33.02°S latitud dan 100.27°E longitud — terletak di kawasan kawah timur Broken Ridge, iaitu sebuah pergunungan dasar laut di Lautan Hindi.
“Ia tersembunyi jauh di dasar lautan, dengan satu piksel cerah muncul di kawasan pertemuan Broken Ridge dan Zon Retakan Diamantina. Lokasi ini menandakan kemungkinan bangkai pesawat MH370 dengan ketepatan yang belum pernah dicapai,” jelas Dr. Lyne.
Beliau turut menambah bahawa lokasi tersebut berada pada kedalaman kira-kira 5,750 meter, dan ia merupakan anomali yang luar biasa yang berpotensi menjadi petunjuk lokasi nahas tersebut.
Pencarian Termahal Dalam Sejarah Penerbangan
Meskipun penemuan ini mencetuskan harapan baharu, Dr. Lyne turut mengakui terdapat percanggahan dalam data sonar dan bacaan altimeter satelit yang menimbulkan keraguan terhadap teori tersebut.
Untuk rekod, tragedi MH370 terus menjadi misteri penerbangan terbesar dunia sejak pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014, jam 1.09 pagi. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi menuju ke Beijing sebelum lenyap tanpa jejak.
“Selamat malam, Malaysian three-seven-zero” menjadi komunikasi terakhir yang diterima dari kokpit pesawat tersebut.
Pencarian pesawat MH370 turut mencatatkan sejarah sebagai operasi pencarian paling mahal dengan kos sebanyak AS$200 juta (RM837.47 juta), melibatkan 82 pesawat, 84 kapal laut, dan penyertaan daripada 26 negara.