· · · · · ·

M Nasir Kritik Lagu Raya Moden, Label Kurang Melodi & Hilang Jiwa Syahdu

Legenda muzik tanah air, Datuk M Nasir secara terbuka mengkritik trend lagu raya terkini yang dianggap kurang melodi serta semakin hilang nilai kesyahduan yang selama ini menjadi elemen wajib dalam lagu-lagu raya klasik. Menurutnya, walaupun lagu raya moden bersifat catchy dan mudah diingati, namun kebanyakannya gagal membangkitkan emosi sebenar hari raya yang sepatutnya mempunyai keseimbangan antara kegembiraan dan kesyahduan.

Beliau turut menyatakan bahawa lagu-lagu raya yang mempunyai melodi kuat kini dilihat ketinggalan zaman oleh sesetengah pihak, sedangkan menurutnya, elemen tradisi dalam lagu raya sangat penting kerana ia dapat menyentuh emosi dan jiwa pendengar. Bagi M Nasir, sesebuah lagu raya perlu mempunyai gabungan unik antara kegembiraan meraikan kemenangan dan keheningan serta kesyahduan yang menjadi identiti hari lebaran. Tambahnya, lagu raya yang terlalu moden atau mengabaikan elemen nostalgia dan tradisi mungkin sukar untuk bertahan lama berbanding lagu-lagu klasik yang masih menjadi pilihan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Dalam pada itu, M Nasir bakal muncul dengan Konsert Cipta Raya pada 13 April ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan sekitar 20 lagu bertemakan Aidilfitri. Konsert tersebut tercetus selepas lagu popularnya, Satu Hari Di Hari Raya berjaya mencetuskan nostalgia mendalam ketika persembahan pada Oktober lalu, sekali gus membuktikan kehebatan lagu-lagu raya lama yang kekal relevan hingga kini.

Sumber: Utusan