· · ·

Trump Cetus Panik Dunia, Tarif Baharu Amerika Syarikat Dijangka Heret Ekonomi Global Ke Ambang Krisis!

Tindakan mengejut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memperkenalkan tarif baharu terhadap import dari seluruh dunia bukan saja mencetuskan panik di kalangan pelabur antarabangsa, malah berisiko tinggi mengheret ekonomi global ke ambang krisis. Pengumuman drastik ini yang Trump sifatkan sebagai “hari pembebasan ekonomi Amerika” menerima kecaman serta-merta dari pelbagai negara, khususnya China, Jepun, dan Kesatuan Eropah yang kini bersiap sedia untuk bertindak balas. Penganalisis kewangan pula memberi amaran bahawa dasar Trump itu bakal menjadi “bom jangka” yang mencetuskan kemelesetan global jika tidak dibendung segera.

Menurut laporan JPMorgan, tindakan Amerika Syarikat itu bakal meningkatkan kos sara hidup rakyatnya sendiri dengan tambahan cukai sebanyak RM2.6 trilion setahun. Malah, tarif ini juga dijangka melonjakkan inflasi sebanyak dua peratus, sekali gus memburukkan lagi situasi ekonomi Amerika yang sedia tenat. Tidak cukup dengan itu, pasaran saham dunia turut jatuh merudum, dengan indeks Nikkei Jepun mencatat kejatuhan lebih empat peratus, manakala Wall Street mengalami kemerosotan mendadak susulan pengumuman Trump. Di pihak lain, China dengan tegas mendesak Amerika Syarikat membatalkan segera tarif tersebut kerana ia berpotensi meruntuhkan rantaian bekalan global serta mencetuskan perang perdagangan yang lebih buruk.

Lebih 60 negara termasuk Malaysia turut terkesan dengan pengenaan tarif yang tinggi ini, meningkatkan lagi kebimbangan dunia terhadap kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dalam masa terdekat.

KOSMO