Kim Seri Tamatkan Zaman Janda, Kahwini Lelaki Korea – Tapi Isu Tuntutan Wang Pakej Korea Masih Berlegar
Kim Seri Tamatkan Zaman Janda, Kahwini Lelaki Korea – ‘Dua Jiwa, Satu Janji’

Pempengaruh media sosial, Kim Seri kini sah bergelar isteri selepas selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati yang merupakan warganegara Korea Selatan, Choi Amin.
Berita gembira itu dikongsikan oleh pemilik nama Seri Azlina, 40, menerusi Instagram miliknya dipercayai selepas mereka selamat diijabkabulkan pada Rabu.
Menerusi muat naik tersebut, Kim Seri memaparkan gambarnya bersama suami beserta kapsyen yang romantis:
“Dua jiwa. Satu janji. Satu perjalanan. Semoga Allah merahmati perkahwinan ini dan menjadikan kami suami isteri pasangan yang soleh.”
Dalam pada itu, Kim Seri turut memohon doa daripada orang ramai supaya mahligai yang dibina bersama suaminya berkekalan hingga akhir hayat.
“Ya Allah, berkatilah pasangan Choi Amin dan Seri Azlina. Limpahkan keberkatan kepada mereka berdua dan kurniakan mereka rezeki yang luas, penyelesaian terhadap segala hutang-hutang. Kelegaan dari segala kesusahan dan keberkatan dalam hidup dan perkahwinan mereka.
Jadikanlah pernikahan ini pintu kepada rezeki, kebahagiaan dan kejayaan wahai Tuhan yang Maha Pengasih, amin.”
Baca juga : “Duit Refund Entah Ke Mana? Wanita Dakwa Kim Seri ‘Hilang Dari Radar’!”
Majlis pernikahan mereka mendapat reaksi positif dalam kalangan warganet, dan ramai mendoakan agar pasangan itu berkekalan serta dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Namun dalam masa yang sama, Kim Seri masih belum memberikan penjelasan penuh berhubung isu kontroversi sebelum ini, di mana beberapa individu mendakwa belum menerima bayaran balik untuk pakej pelancongan Korea yang diuruskan olehnya.
Sebelum ini, beberapa pelanggan tampil menyatakan mereka telah membayar sejumlah wang kepada Kim Seri bagi tujuan melancong ke Korea, namun tiada maklum balas selepas pembayaran dilakukan. Malah, ada yang mendakwa Kim Seri meninggalkan kumpulan WhatsApp dan menyekat media sosial pelanggan.
Untuk rekod, Kim Seri pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang jejaka Melayu namun berpisah pada tahun lalu. Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sumber: Instagram
By Tarziman — 24 Apr 2025, 02:52 PM