Bukan Nak Menyusahkan Rakyat’ – Terengganu Haramkan Vape Sepenuhnya Bermula 1 Ogos
Kerajaan Negeri Terengganu mengesahkan bahawa larangan penuh ke atas penjualan dan penajaan produk rokok elektronik (vape) akan bermula 1 Ogos ini, namun menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan menyukarkan kehidupan rakyat.
Menurut Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyatakan bahawa larangan ini selaras dengan prinsip pencegahan dalam Islam dan bertujuan memelihara kesihatan rakyat jangka panjang.
Beliau memaklumkan bahawa data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 41 kes penyakit berkaitan penggunaan vape (EVALI) telah dilaporkan sehingga 30 September 2024. Kos rawatan bagi setiap pesakit dianggarkan mencecah RM150,892.11 — dan jika dibiarkan, kos ini boleh melonjak kepada RM368 juta setahun menjelang 2030.
Baca Juga : Air Mata Wan Maimunah Jual Ayam Golek Ferris Wheel di Terengganu, Ramai Netizen Nak Datang Support
Antara kes yang membimbangkan ialah kejadian halusinasi dan kebocoran paru-paru dalam kalangan remaja, yang semakin meningkat di hospital-hospital kerajaan. Menurut beliau, “Apakah kita mahu terus membiarkan racun ini berada dalam tangan generasi muda kita?”
Langkah larangan ini juga berpaksikan kepada maqasid al-syariah — iaitu menjaga nyawa, akal dan keturunan — serta tanggungjawab kerajaan negeri terhadap rakyatnya.
Bagi pengusaha vape yang terjejas, kerajaan negeri turut membuka peluang alternatif melalui skim di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
“Saya menyeru semua lapisan masyarakat – dari ibu bapa, guru, NGO hingga ke penguat kuasa – untuk bersama menjayakan usaha ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Terengganu telah mengumumkan penguatkuasaan larangan terhadap semua produk vape bermula 1 Ogos 2025, menjadikannya negeri pertama yang melaksanakan larangan penuh terhadap vape di Malaysia.
.
Sumber : Harian Metro
By Tarziman — 30 Apr 2025, 03:55 PM