· · ·

Fazura Didakwa Gagal Bayar Hutang RM4.65 Juta, Pengasas Feline Label ‘Pengalaman Terburuk’

“Saya sangat kecewa dengan apa yang sudah dia (Nur Fazura) lakukan. Ini pengalaman terburuk dan paling serius pernah saya lalui.”

Itu kenyataan daripada Lim Boon Hai, 42, pengasas dan Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, yang tampil mendakwa selebriti terkenal Nur Fazura Sharifuddin gagal melunaskan hutang berjumlah RM4.65 juta menerusi syarikatnya, Pink Fate Sdn Bhd.

Menurut Lim, yang lebih dikenali sebagai Sam, pihaknya telah memfailkan tuntutan rasmi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April lalu selepas semua usaha menyelesaikan secara baik menemui jalan buntu. Katanya, notis sudah dihantar namun tiada sebarang maklum balas diterima.

Sam turut menyatakan bahawa sejak penghujung 2023, pihaknya menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran dari pihak Fazura, dan segala cubaan untuk berkomunikasi dengan syarikat terbabit tidak mendapat kerjasama sewajarnya.

Baca Juga : Berberapa bulan tinggalkan Fattah Amin Fazura terbuka untuk Kahwin lagi ‘Kalau Ada Jodoh, Biar Terbaik Buat Saya dan Fatima’

Baca juga : Netizen samakan Fazura dengan Aliff Syukri selepas nyanyi lagu raya secara live, “Part Diam Lagi Sedap”

Lebih mengejutkan, Sam turut mendakwa menerima cek berjumlah RM1 juta yang kemudiannya disahkan sebagai cek tendang bertarikh 3 September 2024. Walaupun dimaklumkan agar mencari alternatif bayaran, dakwanya, ia tidak diendahkan.

Semua transaksi tersebut, kata Sam, berlaku ketika Fazura masih menyandang jawatan sebagai pengarah Pink Fate Sdn Bhd, sebelum meletakkan jawatan pada Januari lalu. Namun begitu, abangnya Ahmad Faiz Sharifuddin masih kekal sebagai pengarah.

Menurut dokumen saman, Pink Fate hanya membayar sebanyak RM2.68 juta daripada jumlah penuh RM7.33 juta pembekalan tudung sejak Jun 2022, menyebabkan tunggakan hutang berbaki RM4.65 juta.

Selain Pink Fate, defendan lain dalam saman itu ialah Fazfit Sdn Bhd, Ahmad Faiz Sharifuddin serta Fazura sendiri.

Lima pesanan tambahan dibuat pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta walaupun hutang asal masih belum dilunaskan. Faiz juga dikatakan memberi jaminan pesanan itu adalah untuk Kementerian Pendidikan menerusi projek Merdeka Collection.

Cubaan media untuk mendapatkan komen daripada pihak Fazura setakat ini masih belum berjaya.

Sumber : Harian Metro

By Tarziman — 06 May 2025,  9:50AM