Geosesarma Bunian: Penemuan Spesies Ketam Baharu Yang Sembunyi Lebih 1,000 Meter Tinggi Di Kedah
Gunung Jerai sekali lagi menjadi perhatian apabila para penyelidik mengesahkan penemuan spesies baharu ketam air tawar daripada genus Geosesarma, kini dikenali sebagai Geosesarma bunian.
Penemuan menarik ini berasal dari kawasan utara Semenanjung Malaysia, dan menambah satu lagi nama ke dalam senarai biodiversiti negara, khususnya dalam ekosistem tanah tinggi yang selama ini kurang diterokai secara mendalam.
Baca Juga :Tak Jumpa Cinta? Tak Apa, Burung Merak Zoo Negara Pun Sama
Geosesarma bunian kini disenaraikan bersama empat spesies lain dalam kumpulan Geosesarma foxi: tiga dari Malaysia iaitu G. foxi sensu stricto (Pulau Langkawi, Kedah), G. serenei Ng, 1986 (Bukit Larut, Perak), dan G. faustum Ng, 2017 (Pulau Pinang), serta satu dari Narathiwat, Thailand iaitu G. todaeng Ng, Yeesin & Promdam, 2023.
Spesies baharu ini ditemui di ketinggian lebih 1,100 meter dari aras laut di Gunung Jerai, Kedah. Kawasan pergunungan yang sejuk dan sering berkabus ini dianggap habitat sesuai untuk spesies misteri seperti ketam bunian.


Walaupun saiznya tidak lebih besar daripada syiling 50 sen, penampilan Geosesarma bunian sangat mencuri tumpuan — bahagian hadapan tubuh berwarna kekuningan, manakala bahagian belakang pula gelap dengan kebiruan serta dihiasi titik-titik putih.
Namanya diilhamkan daripada makhluk mitos Melayu, “Orang Bunian”, menggambarkan sifat ketam ini yang suka bersembunyi dan jarang dilihat. Ia biasanya mendiami lubang-lubang kecil di tebing tanah dan turut dijumpai di atas ranting pokok renek — menunjukkan kemungkinan sifat separa arboreal. Malah, terdapat juga yang dilihat berkongsi kawasan dengan spesies labah-labah hutan yang besar.
Selain rupa yang menawan, Geosesarma bunian juga unik dari segi struktur tubuh dan ciri pembiakannya. Spesies ini setakat ini hanya ditemui di Gunung Jerai, menjadikannya sangat terhad dari segi taburan — dan berpotensi dikategorikan sebagai spesies langka.
Para penyelidik menegaskan bahawa penemuan ini memberi peringatan penting tentang kepentingan konservasi hutan-hutan tanah tinggi. Kawasan seperti Gunung Jerai bukan hanya untuk rekreasi, tetapi juga habitat bagi spesies luar biasa yang belum dikenali dunia.
Penting untuk diingat — jika mendaki dan ternampak ketam ini, jangan diusik atau dibawa pulang. Biarkan ia terus ‘bersembunyi’ di habitat asalnya dengan tenang.
Penemuan rasmi Geosesarma bunian telah diterbitkan dalam Raffles Bulletin of Zoology oleh Peter K. L. Ng dari National University of Singapore bersama rakan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu, Khadijah Ahmad dan Prof. Amirrudin B Ahmad.
Sumber : Facebook
By Tarziman — 08 May 2025, 12:17 PM