Ibu Zayn Rayyan Dakwa Dipaksa Mengaku Bunuh Anak Ketika Dalam Tahanan
Ibu Zayn Rayyan Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan Ketika Dalam Tahanan Polis
Perbicaraan kes kematian Zayn Rayyan kembali menjadi tumpuan selepas ibunya, Ismanira Abdul Manaf, tampil memberi keterangan mendakwa dirinya dipaksa untuk mengaku membunuh anak sendiri ketika dalam tahanan.
Menurut Ismanira, 30, insiden tersebut berlaku sepanjang tempoh reman selama 13 hari yang dijalankan pada Jun tahun lalu. Dia memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan kes pengabaian anak autisme di Mahkamah Sesyen hari ini.
Disoal Siasat Di Sebuah Banglo Bukan Balai Polis
Salah satu pendedahan mengejutkan oleh Ismanira adalah lokasi soal siasat yang dijalankan. Menurutnya, dia tidak dibawa ke balai polis seperti biasa, sebaliknya dibawa ke sebuah banglo yang dikenali sebagai ‘safe house’ di Petaling Jaya.
“Mereka menuduh saya dan mengarang cerita yang saya membunuh Zayn Rayyan sendiri,” katanya kepada mahkamah. Dia turut menyatakan bahawa dirinya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan, namun terus ditekan dengan tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
Baca juga : Ibu Zayn Rayyan Sumpah Pemfitnah Terima Balasan, Doa Pembunuh Sebenar Muncul
Baca juga : Ibu Bapa Zayn Rayyan Tidak Mengaku Bersalah Abai Anak
Terdapat Pegawai Polis Yang Bersimpati
Ismanira berkata, dalam kalangan pegawai polis yang terlibat dalam siasatan, wujud dua kelompok — satu yang menunjukkan empati dan mempercayainya tidak bersalah, manakala satu lagi terus menuduhnya.
“Pihak polis pada masa itu terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan bersimpati dan mengatakan yang mereka tahu saya tidak bersalah,” ujarnya.
Kumpulan pegawai yang bersimpati itu juga, katanya, menyarankan agar dia terus kuat dan melawan tuduhan tersebut jika ianya tidak benar.
“Saya Tidak Pernah Mengabaikan Zayn Rayyan”
Mengulas lanjut berkenaan pertuduhan pengabaian, Ismanira menegaskan dia tidak pernah sekalipun mengabaikan anaknya, termasuk pada hari kejadian yang dikaitkan dengan pertuduhan.
“Saya benar-benar hilang anak pada hari itu. Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya,” katanya dengan nada sebak.
Suami Dibebaskan, Isteri Diperintah Membela Diri
Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah semalam memutuskan bahawa Ismanira perlu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Namun, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk mendakwanya.
Perbicaraan kes ini dijangka akan terus menarik perhatian umum kerana membabitkan isu penderaan, pengabaian, dan prosedur soal siasat polis yang dipersoalkan.



