Wanita Kanada Terkejut Malaysia Lebih Maju Dari Yang Disangka
Guna WhatsApp untuk hampir semua perkhidmatan
Seorang wanita Kanada bernama Sana Saleh yang kini menetap di Malaysia berkongsi pengalamannya tentang bagaimana negara ini jauh lebih maju dan mudah dari segi kehidupan harian berbanding negara asalnya. Dalam video Instagram, Sana menyatakan dia sangat kagum dengan betapa senangnya berhubung dengan pelbagai perkhidmatan di Malaysia hanya melalui WhatsApp.
Daripada pegawai bank, tukang paip, elektrik, sehingga doktor boleh dihubungi dengan mudah tanpa perlu panggilan telefon, sesuatu yang amat dihargainya sebagai seorang introvert.
Penghantaran Pantas, Bayar Parking Guna Kad Sahaja
Sana juga memuji perkhidmatan penghantaran di Malaysia yang pantas dan efisien. Beliau memberi contoh bagaimana dia boleh memasak dan hantar makanan ke bandar lain dalam masa singkat. Di Kanada pula, katanya penghantaran barangan runcit boleh mengambil masa berjam-jam.
Tambahnya lagi, sistem pembayaran QR di Malaysia sangat memudahkan. Sama ada untuk bayar tol, parking atau tukang paip, semuanya hanya perlu imbas sahaja. Di Kanada dan Amerika Syarikat, teknologi ini belum digunakan secara meluas dan seefisien seperti di Malaysia.
Satu lagi yang membuatkan dia kagum ialah penggunaan kad Touch ’n Go untuk masuk dan keluar dari tempat letak kereta. Sistem ini dapat mengira masa parkir tanpa perlu ke mesin parkir setiap beberapa jam seperti yang dilakukan di negaranya.
Bidet Di Tandas, Jumpa Pakar Perubatan Dalam Sehari
Dalam bahagian kedua videonya, Sana menyatakan kekagumannya terhadap kehadiran bidet di rumah dan tandas awam Malaysia. Katanya, dia sukar menyesuaikan diri tanpa bidet apabila berada semula di Kanada.
Lebih penting lagi, dia menyatakan betapa mudahnya berjumpa pakar perubatan di Malaysia. Menghidap beberapa masalah kesihatan, Sana berkata di Kanada dia perlu menunggu sehingga 6 hingga 8 bulan untuk berjumpa doktor pakar. Di Malaysia, dia hanya perlu tempah temujanji melalui aplikasi dan boleh jumpa doktor keesokan harinya.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
Kekeliruan Dengan Istilah “Partially Furnished”
Walaupun banyak yang dipuji, Sana turut berkongsi kekeliruannya tentang istilah “partially furnished” di Malaysia. Katanya, istilah ini di sini bermaksud tiada perabot, tiada dapur, lampu, kipas mahupun penghawa dingin. Manakala “fully furnished” pula hanya merangkumi kelengkapan asas serta beberapa perabot.
Netizen Luar Negara Setuju, Malaysia Lebih Mudah
Ramai warga asing lain di ruangan komen bersetuju dengan pendapat Sana. Seorang ibu yang mempunyai anak istimewa berkongsi dia berpindah ke Perancis dengan harapan sistem lebih baik, tetapi sukar mencari sekolah sesuai. Namun di Malaysia, lebih mudah baginya mendapatkan sekolah khas untuk anaknya.
Dalam masa sama, ramai rakyat Malaysia turut berterima kasih kepada Sana kerana mengingatkan mereka agar tidak mengambil mudah segala kemudahan yang ada di negara ini. Ada juga yang secara berseloroh meminta beliau berhenti mempromosikan Malaysia kerana mahu negara ini kekal tenang dan tidak diserbu oleh warga asing.
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.
Sumber : Instagram
https://www.instagram.com/reel/DPD_i7CExsB/?utm_source=ig_embed&ig_rid=c14358c4-f6b8-4cc1-bffe-10257ebf5416



