· ·

KBS Sedia Ambil Tindakan Jika Warzone World Championship Diteruskan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi amaran keras kepada penganjur acara Warzone World Championship (WWC) yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Disember di Stadium Arena 9, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut laporan Bernama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata acara yang menghimpunkan petarung dari Malaysia dan Indonesia itu tidak boleh diteruskan kerana tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kementerian.

“Tiada Kebenaran, Maka Acara Tidak Boleh Diteruskan”

“Walaupun mereka telah mula mempromosikan acara ini, tetapi dalam kelulusan KBS, ia tidak disenaraikan. Ini bermaksud tiada kebenaran daripada KBS dan bila tiada kebenaran, bermaksud program itu tidak boleh berjalan kerana tiada kelulusan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Realiti TV Jaguh Rakan Muda di ibu negara hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa semua penganjur acara sukan, khususnya yang melibatkan peserta luar negara, wajib memohon kelulusan KBS bagi memastikan semua aspek keselamatan dipatuhi, termasuk semakan insurans dan permit berkaitan.

Proses Kelulusan Penting Demi Keselamatan

Hannah menegaskan bahawa proses permohonan biasanya mengambil masa 30 hari untuk disemak dan setiap penganjur mesti mematuhi syarat-syarat keselamatan serta garis panduan kandungan acara.

“Pihak kami ingin memastikan setiap acara yang dijalankan selamat untuk peserta dan penonton. Sebab itu kelulusan rasmi amat penting, bukan sekadar promosi di media sosial,” katanya.

Ibu Bapa Bantah, Promosi Video Tak Selaras Nilai Sukan

Hannah turut memaklumkan bahawa pihak kementerian menerima banyak maklum balas negatif daripada ibu bapa yang membantah acara tersebut, khususnya selepas video promosi yang tular memperlihatkan kanak-kanak Malaysia dan Indonesia bergaduh.

“Ramai ibu bapa marah bila mereka lihat video itu. Bukan semua kandungan sesuai untuk masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi bila kita sedang berdepan isu buli dalam kalangan pelajar,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyokong sebarang kandungan atau acara yang boleh memupuk unsur keganasan atau buli dalam kalangan generasi muda.

Kementerian Tegas Pertahan Dasar Sukan Selamat

“Bagi saya, jumlah tontonan tidak melambangkan apa-apa. Walau berapa tinggi pun tontonan anda, saya ada tanggungjawab untuk pertahankan Kod Sukan Selamat,” katanya.

Hannah menambah bahawa beliau bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sehaluan dalam mempertahankan dasar untuk melindungi generasi muda.

“Dengan trend kes buli sekarang, kerajaan memang tidak boleh menyokong kandungan seperti ini. Saya minta maaf, tapi kami tidak akan kompromi dalam hal ini,” katanya lagi.

Tindakan Undang-Undang Jika Diteruskan Tanpa Kelulusan

Hannah menjelaskan bahawa sebarang acara sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang termaktub di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Beliau turut menegaskan bahawa KBS tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika pihak penganjur meneruskan acara tanpa kebenaran rasmi daripada kerajaan.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.


 Sumber : Youtube

Tarziman —04/11/2025,  11.17AM

TONTON VIDEO KAMI

5 Videos