· ·

Pembantu Rumah Indonesia Diselamatkan Selepas 16 Tahun Eksploitasi Di Batu Caves

Pembantu Rumah Indonesia Diselamatkan Selepas 16 Tahun Eksploitasi Di Batu Caves

Pihak imigresen Malaysia telah menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa dieksploitasi selama hampir 16 tahun. Wanita berusia 56 tahun itu bekerja tanpa dokumen sah, tidak menerima gaji dan hidup dalam kawalan ketat majikan. Dia ditemui bersembunyi di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam serbuan di Batu Caves pada 24 November.

Disuruh Sembunyi Bawah Kereta

Menurut Jabatan Imigresen, wanita tersebut ditemui di bawah kereta selepas mendakwa diarahkan majikan untuk bersembunyi supaya tidak dikesan pihak berkuasa ketika operasi dijalankan.

Siasatan awal mendapati dia bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa permit kerja yang sah. Dia turut memaklumkan bahawa majikannya berjanji membayar gaji RM600 sebulan, tetapi dia tidak menerima apa-apa bayaran sejak dua tahun lalu.

Ketika diselamatkan, wanita tersebut berada dalam keadaan trauma dan mendakwa dia sering dimarahi serta dipukul oleh majikan.

Pasport Diambil, Tak Boleh Guna Telefon, Tiada Rehat

Sepanjang tempoh bekerja, pasport miliknya tidak pernah berada dalam simpanan sendiri. Dia juga dilarang menggunakan telefon bimbit, menyebabkan dia terputus hubungan sepenuhnya dengan keluarga.

Wanita itu turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat yang sepatutnya dan hanya tidur sekejap-sekejap apabila berpeluang.

Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai majikan telah ditahan. Lelaki itu mengaku mendapatkan wanita berkenaan melalui seorang ahli keluarga.

Serbuan itu dijalankan oleh Bahagian ATIPSOM dan Pencegahan AMLA JIM Putrajaya berdasarkan maklumat daripada sumber yang tidak didedahkan.

Disiasat Di Bawah ATIPSOM 2007

Kes kini disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Undang-undang ini memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan bagi kesalahan lebih serius.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan kumpulan berisiko dengan merujuk Garis Panduan NGHTI 2.0.

Orang Ramai Digesa Laporkan Eksploitasi

Pihak berkuasa menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat tentang eksploitasi pekerja asing supaya tindakan dapat diambil segera.

Sebarang maklumat boleh dihantar ke Bahagian ATIPSOM & AMLA JIM di talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.


 Sumber : FACEBOOK

Tarziman —27/11/2025,  3.00PM

TONTON VIDEO KAMI

5 Videos