John Cena Tunduk Dalam Perlawanan Terakhir, Tamatkan Karier WWE Dengan Kekalahan
John Cena Rasmi Bersara Dari WWE
Karier gemilang John Cena dalam dunia gusti profesional akhirnya sampai ke penghujung apabila legenda WWE itu menamatkan perjalanannya dengan kekalahan dalam perlawanan terakhir.
Juara dunia 17 kali itu membuat penampilan terakhir di acara Saturday Night’s Main Event yang berlangsung di Capital One Arena, Washington DC, disaksikan lebih 19,000 peminat setia.
Tewas Kepada Gunther Dalam Aksi Penentuan
Perlawanan terakhir Cena berakhir dengan kekalahan kepada Gunther selepas beliau terpaksa menyerah kalah akibat asakan sleeper hold bertali arus.
Walaupun berjaya melepaskan beberapa gerakan ikonik seperti Five Knuckle Shuffle dan Attitude Adjustment, Cena tidak mampu bertahan. Saat paling menyentuh emosi ialah apabila beliau memandang tepat ke kamera, tersenyum nipis, sebelum mengetuk tanda menyerah.
Ia merupakan kali keempat sahaja Cena menyerah kalah sepanjang kariernya, dan kali pertama sejak tahun 2004 ketika tewas kepada Kurt Angle.
Penghormatan Terakhir Dari Rakan Rakan WWE
Selepas tamat perlawanan, Gunther meninggalkan gelanggang dan seluruh loker bilik WWE keluar memberikan penghormatan terakhir buat Cena.
Juara Dunia Berat CM Punk dan Juara WWE Cody Rhodes turut naik ke gelanggang dan menyerahkan tali pinggang kejuaraan masing masing untuk dipakai Cena buat kali terakhir sebagai simbol legasi beliau.
Sebuah montaj video perjalanan karier Cena turut dimainkan, memaparkan detik ikonik bersama ramai bintang WWE termasuk rakaman lama bekas pengerusi WWE Vince McMahon.
Reaksi Penonton Yang Emosi Dan Marah
Walaupun ramai peminat terharu, tidak kurang juga yang meluahkan rasa tidak puas hati.

Ketua kandungan WWE, Paul Triple H Levesque, menerima sorakan negatif dan cemuhan apabila muncul di arena, menandakan kekecewaan peminat terhadap cara perlawanan terakhir Cena diatur.
Simbol Persaraan Di Tengah Gelanggang

Dalam satu detik simbolik, Cena membuka kasut dan wristband miliknya lalu meletakkannya di tengah gelanggang sebelum membongkok memberi hormat.
Ketika berjalan keluar, beliau berhenti seketika dan menyampaikan ucapan terakhir.
“Ia satu penghormatan dapat berkhidmat kepada anda semua selama ini. Terima kasih,” katanya sebelum meninggalkan arena buat selamanya.
Penutup Kepada Legasi Seorang Ikon
Persaraan Cena menutup tirai tahun 2025 yang penuh naik turun. Awal tahun ini, beliau mengejutkan peminat dengan watak antagonis buat kali pertama dalam kariernya.
Beliau kemudian memenangi kejuaraan dunia di WrestleMania sebelum kehilangan gelaran tersebut di SummerSlam. Kemenangan terakhirnya hadir di Boston apabila menewaskan Dominik Mysterio.
Gunther pula mencipta sejarah apabila menjadi individu kedua pada tahun ini yang menamatkan karier legenda WWE, selepas sebelum ini menewaskan Bill Goldberg.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.



