Ajak Shiro Kenang Jasa Tauke Jambu, Hadiahkan Meja Baharu Buat Gerai Lempeng
Ajak Shiro Lawat Gerai Tauke Jambu
Penyampai radio dan usahawan terkenal, Ajak Shiro mengundang rasa sebak dalam kalangan peminat apabila melawat gerai lempeng milik sahabatnya, Tauke Jambu di Kuala Selangor, Selangor.
Lawatan itu bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya sarat dengan nilai persahabatan dan mengenang jasa lama yang pernah dicurahkan ketika Ajak masih bertatih dalam industri hiburan.
Hadiahkan Meja Baharu Sebagai Tanda Sokongan
Menerusi perkongsian di TikTok, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak berkongsi luahan ikhlas tentang budi Tauke Jambu yang tidak pernah berkira menghulurkan bantuan suatu ketika dahulu.
“Tauke Jambu, terima kasih dari hati yang dalam, waktu aku masih bertatih belum tahu arah dan belum jadi sesiapa, kau lah orang yang menghulur tangan tanpa berkira,” katanya.
Menurut Ajak, jasa yang ditanam Tauke Jambu bukan sekadar pertolongan kecil, tetapi menjadi tempat berpaut dan sumber kekuatan ketika susah.
“Budi yang kau tanam waktu itu bukan kecil nilainya. Ia jadi tempat aku berpaut, jadi teduh waktu panas, jadi payung waktu hujan,” tambahnya lagi.
Sebagai tanda sokongan, Ajak menghadiahkan meja dan kerusi baharu untuk kegunaan gerai tersebut, selain dilihat memeluk erat sahabatnya dalam suasana penuh emosi.
Doakan Kejayaan Karier Baharu Tauke
Dalam pada itu, Ajak turut mendoakan agar Tauke Jambu terus berjaya dalam perniagaan baharunya.
“Bawa meja sendiri makan kat kedai Tauke, macam hari raya, hari-hari sentiasa ramai orang. Alhamdulillah, kalau Allah dah izinkan tiada yang mustahil,” katanya.
Ajak juga mengajak orang ramai untuk datang menyokong perniagaan Tauke Jambu yang kini menjual lempeng dengan harga mampu milik.
Perniagaan Pernah Diuji, Namun Tetap Disayangi
Terdahulu, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 49, pernah berdepan ujian apabila enam meja di gerai lempeng miliknya di Pasir Penambang, Kuala Selangor hilang dan dipercayai dicuri oleh individu tidak dikenali.
Walaupun berniaga secara kecil-kecilan, gerai lempeng RM1 miliknya pernah tular dan menerima pujian ramai kerana menawarkan makanan pada harga berpatutan serta usaha gigihnya mencari rezeki secara sederhana.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen memuji sifat Ajak Shiro yang tidak melupakan jasa sahabat walaupun sudah berada di tahap kejayaan sendiri.
Malah, ada yang mengaku sebak dan menitiskan air mata melihat persahabatan tulus antara mereka berdua.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.



