· · ·

PM Umum Darjah 1 Bermula Umur 6 Tahun Mulai 2027, Peperiksaan Diperkenal Untuk Tahun 4 & Tingkatan 3

Darjah Satu Bermula Seawal Umur 6 Tahun Mulai 2027

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara apabila darjah satu bakal dimulakan seawal usia enam tahun bermula tahun 2027. Dalam masa sama, pendidikan prasekolah pula akan bermula pada usia lima tahun.

Menurut beliau, perubahan tersebut masih belum diwajibkan kepada ibu bapa buat masa ini kerana kerajaan mahu memberi ruang kepada semua pihak untuk bersedia dengan persekitaran pendidikan baharu, khususnya golongan pendidik.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian usaha memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak agar lebih tersusun dan selari dengan perkembangan semasa.

Perubahan Belum Wajib, Ibu Bapa Diberi Ruang Bersedia

Anwar menjelaskan bahawa pelaksanaan kemasukan darjah satu pada usia enam tahun tidak dipaksakan kepada ibu bapa. Sebaliknya, ia bertujuan memberi masa kepada sistem pendidikan, guru dan institusi berkaitan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dilaksanakan.

Pendekatan ini juga memberi ruang kepada ibu bapa untuk membuat persediaan dari segi mental, emosi dan keperluan anak-anak sebelum memasuki alam persekolahan formal lebih awal.

Ujian Penilaian Diperkenalkan Untuk Murid Tahun 4

Selain perubahan peringkat awal persekolahan, kerajaan turut mengumumkan pengenalan semula ujian penilaian atau peperiksaan untuk murid Tahun 4 bermula tahun ini.

Empat mata pelajaran utama yang akan dinilai ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Namun, laporan lain turut memaklumkan bahawa Sejarah akan dijadikan sebagai satu lagi mata pelajaran tambahan dalam penilaian tersebut.

Menurut Anwar, penilaian ini penting untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal, tanpa perlu menunggu sehingga mereka berada di Tahun 6.

“Guru-guru ingat tahun ini ada ujian darjah empat, mengapa nak tunggu darjah enam. Kita buat penilaian ini supaya kita tahu, dua tahun iaitu murid darjah lima dan enam, mereka mempunyai ruang untuk perbaiki sebelum memasuki tingkatan satu,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.

Penilaian Tingkatan 3 Dan Matriks Pembelajaran Malaysia

Dalam masa yang sama, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga turut akan dilaksanakan melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Kedua-dua pengukuran bagi Tahun 4 dan Tingkatan 3 ini akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan. Sistem penilaian baharu ini turut dikenali sebagai Matriks Pembelajaran Malaysia.

Langkah ini bertujuan untuk memastikan tahap pembelajaran murid dapat diukur dengan lebih sistematik dan memberi peluang penambahbaikan sebelum mereka melangkah ke peringkat seterusnya dalam sistem pendidikan.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit: : Berita Harian Berita Harian Kosmo


Tarziman —21/01/2026,  01.56PM

TONTON VIDEO KAMI

5 Videos