“Secara Rasmi Saya Umum Bersara” – Fazura Ambil Keputusan Besar Tinggalkan Drama TV
Fazura Umum Bersara Dari Drama TV Tempatan
Aktres popular, Nur Fazura, mengejutkan ramai apabila secara terbuka mengumumkan keputusannya untuk bersara daripada membintangi sebarang drama terbitan semua stesen televisyen tempatan.
Menurut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk kekangan masa serta komitmen penggambaran drama yang memerlukan tempoh panjang.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya bercakap dengan beralas. Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia,” katanya.
Masih Terbuka Untuk Filem
Walaupun mengumumkan persaraan daripada drama televisyen, Fazura menegaskan dia masih terbuka menerima tawaran lakonan filem, bergantung kepada kesesuaian projek yang ditawarkan.
“Namun, saya masih terbuka untuk tawaran filem tetapi bergantung kepada projek, sama ada di Malaysia dan Indonesia. Sebenarnya saya tiada masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan komitmen tempoh penggambaran panjang,” jelasnya.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, semalam.
Fokus Penuh Kepada Anak
Dalam pada itu, Fazura turut berkongsi keputusan besar itu turut dipengaruhi oleh keinginannya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
Menurut Fazura, Fatima sangat rapat dengannya dan mengalami ‘separation anxiety’ atau kebimbangan akibat perpisahan.
“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami separation anxiety. Dia tak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama.
“Kalau saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia memang akan cari saya. Kalau nak tidur pun dia tunggu saya balik,” katanya lagi.
Serah Pada Ketentuan Allah
Meski sudah mengumumkan persaraan daripada drama TV, Fazura menyerahkan sepenuhnya perjalanan kerjaya seninya kepada ketentuan Tuhan pada masa hadapan.
“Ini memang satu keputusan besar, namun saya tekad. Sekali lagi saya bercakap dengan beralas.
“Hari ini, secara rasminya saya mengumumkan bersara, namun kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” ujarnya.
Terus Aktif Dalam Dunia Muzik
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Fazura berkata dia akan terus berkarya sebagai penyanyi di bawah naungan Universal Music Malaysia.
“Berkaitan bidang muzik pula, masih ada beberapa perancangan termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.
“Sekarang saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional kerana minat saya tetap pada lakonan. Namun minat terhadap muzik masih ada,” jelasnya.
Difahamkan, kemunculan terakhir Fazura di kaca televisyen adalah menerusi drama Lelaki Itu di Slot Samarinda TV3 serta Andartu Kosmopolitan di platform Viu pada tahun 2024.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.




