“Dah La Bawa Baby” – Detik Cemas Wanita ‘Dicucuk’ Myvi Merah Di Cheras
Rakaman Dashcam Cetus Kebimbangan

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pemandu yang memandu secara tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, tular satu video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan sebuah Perodua Myvi merah dipandu secara berbahaya di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Video tersebut dimuat naik oleh seorang wanita dikenali sebagai Cahaya menerusi akaun TikTok miliknya @findingcahaya sebelum dikongsikan semula ke platform Threads.
Myvi Hampir Langgar Pejalan Kaki
Menerusi rakaman berkenaan, pemandu Myvi merah itu dilihat menghimpit ke bahu jalan dan menghampiri seorang individu yang sedang berjalan di laluan pejalan kaki.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan apabila kereta tersebut hampir melanggar pejalan kaki berkenaan, namun mujur kenderaan itu sempat berhenti.
Dipandu Laju, Hon Tanpa Henti
Tidak lama selepas itu, pemandu Myvi berkenaan dilihat membuat pusingan U secara mengejut sebelum memandu laju sambil membunyikan hon tanpa henti.
Lebih membimbangkan, pintu bahagian pemandu kelihatan terbuka sedikit ketika kenderaan itu sedang bergerak laju.
Pemandu tersebut turut ‘mencucuk’ sebuah kereta lain di hadapannya sehingga memaksa kenderaan itu memberi laluan ke tepi jalan.
Wanita Dakwa Myvi Hampiri Keretanya
Myvi merah itu kemudiannya menghampiri kenderaan yang dipandu Cahaya dan dipandu secara agresif, membuatkan wanita tersebut berasa takut untuk memperlahankan kenderaan walaupun melalui bonggol jalan.
Situasi itu menyebabkan wanita berkenaan berasa cemas dan terancam.
Sedang Bawa Bayi Umur Setahun
Apa yang lebih merisaukan, Cahaya mendedahkan bahawa ketika kejadian berlaku, dia sedang membawa bayi berusia satu tahun untuk dihantar ke taska.
“Korang tengok je Myvi merah tu. Mula-mula nak langgar pejalan kaki pakai kasut putih tu. Lepas tu melalut hon semua orang, sampai nak langgar kereta aku tiba-tiba.
“Dah la aku bawa baby umur 1 tahun nak hantar pergi taska awal pagi. Berjaga-jaga lah korang,” katanya.
Wanita itu kemudiannya menghentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum pemandu Myvi tersebut menutup pintu kereta dan berlalu pergi.
Laporan Polis Telah Dibuat
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menggesa wanita tersebut membuat laporan polis kerana tindakan pemandu Myvi itu dianggap membahayakan nyawa orang lain.
Cahaya memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis dan insiden itu berlaku di sekitar Taman Bukit Ria, Cheras.
Individu Lain Dakwa Alami Situasi Sama
Dalam masa sama, beberapa pengguna TikTok dan Threads turut mendakwa pernah berdepan situasi hampir sama dengan sebuah Perodua Myvi, namun tidak dapat mengesahkan warna atau nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
Ada juga yang beranggapan pemandu terbabit mungkin mempunyai masalah tertentu sehingga bertindak di luar kawalan.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.



