Kedai Nasi Kandar Diarah Tutup 14 Hari Lepas Didakwa Cuci Baki Makanan Untuk Dijual Semula
Dakwaan cuci lebihan lauk cetus kemarahan ramai

Tindakan sebuah kedai nasi kandar yang didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula akhirnya membawa padah apabila premis tersebut diarahkan tutup selama 14 hari.
Isu itu mula menjadi perhatian selepas tular aduan di media sosial yang mendakwa pengendali makanan mencuci saki baki lauk seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu yang tidak habis dijual, sebelum digunakan semula keesokan harinya.
JKN Negeri Sembilan sahkan siasatan dijalankan
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap restoran berkenaan yang dipercayai terletak di Seremban.
Menurut kenyataan rasmi, arahan penutupan premis itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selain pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Kami mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai pengendali makanan yang mencuci saki baki makanan daripada lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari,” kata JKNNS.
Premis diarahkan tutup 14 hari bermula semalam
Hasil siasatan mendapati kesalahan itu cukup serius sehingga membawa kepada tindakan penguatkuasaan, dengan premis diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam.
Langkah itu diambil bagi melindungi keselamatan pengguna serta memastikan pematuhan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
MBS turut kenakan kompaun RM750
Dalam masa sama, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 kepada pemilik perniagaan.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk menjalankan perniagaan tanpa kebenaran MBS, mempamerkan iklan tanpa kelulusan serta gagal menjaga kebersihan premis termasuk ketiadaan jadual pembersihan tandas.
Netizen luah rasa jijik dan kecewa
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa marah, jijik dan kecewa dengan dakwaan tersebut, malah ada yang menggesa agar pemantauan ke atas kedai makan dipertingkatkan.
Bagi mereka, soal kebersihan dan keselamatan makanan bukan perkara remeh kerana melibatkan kesihatan orang ramai.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN:
Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.



