· · ·

Wanita Bawa Pisau Di Rain Rave, Abang Dedah Adik Ada Masalah Mental

Abang Dakwa Adik Sudah Lama Tak Ambil Ubat

Seorang wanita tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas dipercayai cuba mencetuskan kekecohan sambil memegang sebilah pisau ketika hadir di malam penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang, Sabtu malam. Namun selepas video kejadian mula tular di media sosial, abang kepada wanita tersebut tampil mendakwa adiknya sebenarnya sedang berdepan masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam sebelum ini. Menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial, dia mendakwa pihak hospital sebelum ini membenarkan adiknya pulang walaupun dia sudah memberi amaran bahawa sesuatu buruk mungkin berlaku. Dia juga mendakwa adiknya sudah lama enggan mengambil ubat dan keadaan mentalnya semakin tidak terkawal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saksi Dakwa Wanita Cuba Tikam Seorang Pakcik

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan suasana cemas apabila seorang wanita dilihat memegang pisau sambil cuba ditenangkan orang awam di lokasi kejadian. Dalam video tersebut, kelihatan seorang lelaki cuba menghalang wanita terbabit daripada bertindak ganas sebelum beberapa individu lain tampil membantu mengawal keadaan. Menurut pemilik video, dia pada awalnya sedang mencari rakannya sebelum menyedari wanita tersebut mengeluarkan pisau dan dipercayai cuba menyerang seorang lelaki warga emas. “Saya sedang mencari kawan, tiba-tiba seorang wanita mengeluarkan pisau dan cuba menikam seorang pakcik. Saya tidak tahu sebab apa wanita itu buat macam tu. Di kiri, kanan dan belakang saya semuanya berpagar jadi memang tiada tempat untuk lari. Saya berada sangat dekat dengannya dan sangat takut dia akan menyerang kerana saya satu-satunya orang di hadapannya. Satu-satunya perkara yang saya mampu lakukan ketika itu adalah merakam apa yang berlaku,” katanya.

Polis Sahkan Wanita Sudah Ditahan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan selepas polis mendapati dia membawa senjata berbahaya. Menurut beliau, pihaknya juga akan mendapatkan perintah reman terhadap wanita berkenaan manakala motif kejadian masih dalam siasatan. Pemilik video turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menghadiri acara besar seperti itu kerana pengalaman tersebut sangat menakutkan. Keadaan akhirnya berjaya dileraikan selepas beberapa anggota pihak berkuasa tiba di lokasi dan mengawal situasi.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit : Instagram

Video : 


Tarziman —4/05/2026,  04.02PM