· · ·

Kompaun Trafik Maksimum Naik Kepada RM500 Mulai 2029, Ini Kesalahan Yang Terlibat

Kadar Maksimum Kompaun Baharu Bermula Tahun 2029

Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar maksimum kompaun bagi kesalahan jalan raya daripada RM300 kepada RM500 bermula 1 Januari 2029 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan bertujuan membebankan rakyat atau meningkatkan hasil kerajaan, sebaliknya bagi memastikan hukuman yang dikenakan kekal relevan serta mempunyai kesan pencegahan yang lebih berkesan. Menurut beliau, kenaikan had maksimum itu tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 kerana kadar sebenar masih bergantung kepada jenis kesalahan, tahap keseriusan dan tempoh penyelesaian kompaun yang ditawarkan.

Antara Kesalahan Yang Terlibat Dengan Kadar Baharu

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kadar maksimum kompaun baharu termasuk memandu melebihi had laju, gagal mematuhi arahan atau isyarat lalu lintas, menggunakan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, memandu tanpa lesen memandu yang sah, tidak memperagakan nombor pendaftaran dengan betul serta gagal menjalani pemeriksaan berkala bagi kenderaan tertentu. Anthony Loke berkata tempoh sehingga tahun 2029 diberikan sebagai fasa peralihan supaya pengguna jalan raya mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.

Pindaan Turut Sentuh Lumba Haram, Roadtax Dan EV

Selain kenaikan kadar maksimum kompaun, pindaan akta tersebut turut memperkenalkan Seksyen 42A bagi membolehkan tindakan diambil terhadap aktiviti lumba haram atau menduga kelajuan tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan. Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan berulang pula boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun. Pada masa sama, pindaan Seksyen 16 dan 17 dibuat bagi memastikan fi Lesen Kenderaan Motor dikenakan mengikut kawasan penggunaan sebenar kenderaan, manakala pindaan Seksyen 10 membolehkan semua kenderaan elektrik didaftarkan secara rasmi dengan keperluan nombor siri dan nombor casis yang jelas. Secara keseluruhannya, pindaan ini turut menyokong usaha pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pengurusan dokumen dan notis secara elektronik.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit : Berita Harian

Video : 


Tarziman —24/06/2026,  03.23PM