“Pantang Dengar Lagu India, Badan Terus Goyang” – Prabowo Mengaku Ada DNA India
Prabowo Curi Perhatian Dengan Pendedahan Tentang DNA
Pertemuan antara Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini bukan sahaja dipenuhi dengan perbincangan rasmi, malah turut diserikan dengan pelbagai momen santai yang mencuit hati. Ketika berucap di hadapan komuniti diaspora India, Prabowo secara berseloroh mendedahkan bahawa beliau pernah menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mendapati dirinya mempunyai DNA India. Menurutnya, setiap kali mendengar lagu India, badannya akan bergerak sendiri mengikut rentak muzik. Beliau turut bergurau mengatakan mungkin ramai menterinya juga mempunyai DNA India kerana begitu pandai menyanyikan lagu-lagu Bollywood.
Modi Turut Berseloroh Tentang Lagu Bollywood
Kenyataan spontan itu nyata menceriakan suasana dan turut membuatkan Narendra Modi tersenyum. Perdana Menteri India itu menyifatkan Prabowo sebagai seorang rakan sejati India dan berkata kenyataan tersebut sudah cukup untuk menyentuh hati jutaan rakyat India. Tidak berhenti di situ, Modi turut mengusik mengenai populariti filem Bollywood di Indonesia dengan menyebut lagu terkenal Kuch Kuch Hota Hai. Katanya, hubungan India dan Indonesia bukan sekadar “kuch kuch” atau sedikit-sedikit, sebaliknya membawa kepada “bahut kuch”, yang bermaksud banyak perkara baik dapat dicapai apabila kedua-dua negara bergerak bersama.
Prabowo Akui Banyak Belajar Daripada India
Dalam ucapan sama, Prabowo turut mengakui beliau mengagumi kepimpinan Narendra Modi sejak sebelum bergelar Presiden Indonesia lagi. Malah, beliau berkata banyak dasar yang dilaksanakan di India menjadi rujukan dan inspirasi untuk negaranya. Prabowo turut menjelaskan hubungan antara Indonesia dan India bukan sekadar hubungan diplomatik, malah turut diperkukuhkan dengan sejarah serta budaya yang saling berkait termasuk pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Indonesia. Lawatan itu turut menyaksikan Narendra Modi menerima anugerah awam tertinggi Indonesia sebagai simbol penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.