· ·

Gol Ferran Torres Hadiahkan Kejuaraan Piala Dunia 2026 Buat Sepanyol

Sepanyol Kembali Bergelar Juara Dunia

Sepanyol akhirnya kembali bergelar juara dunia selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam aksi final Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey sebentar tadi. Kemenangan manis itu menyaksikan La Roja menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas kali pertama melakukannya pada edisi 2010 di Afrika Selatan. Sepanyol yang lebih menguasai permainan mendapat peluang terbaik seawal minit kelima tetapi percubaan placing leret jarak dekat oleh Lamine Yamal dihalang Lisandro Martinez dan kemudiannya diselamatkan penjaga gol, Emiliano Martinez. Tidak seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, Argentina jelas berdepan kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaik mereka apabila Rodri mengemudi jentera tengah Sepanyol dengan baik. Malah, Lionel Messi juga tidak mampu untuk menyerlahkan kemampuan hebatnya. Sebaliknya, skuad kendalian Luis de la Fuente kelihatan lebih bernafsu untuk mengancam kubu juara bertahan itu.

Argentina Gagal Cipta Percubaan Tepat

Walaupun skuad La Roja banyak mencipta peluang, kekentalan jentera pertahanan Argentina memaksa pemain Sepanyol melepaskan percubaan dari luar kawasan penalti. Keadaan tersebut membolehkan Emiliano Martinez kental bertahan untuk menafikan percubaan demi percubaan yang dihadapinya. Hanya tandukan pemain gantian, Ferran Torres setelah menerima umpanan Yamal pada minit ke-67 dan rembatan Nico Williams pada masa kecederaan babak kedua hadir menerusi percubaan dalam kawasan penalti. Namun apa yang lebih mengejutkan, Argentina langsung tidak dapat menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Sepanyol sepanjang 120 minit perlawanan. Malah ketika aksi memasuki minit ketiga masa kecederaan, Enzo Fernandez diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua susulan kekasaran dilakukannya terhadap Pau Cubarsi.

Ferran Torres Muncul Wira La Roja

Memasuki masa tambahan, Sepanyol berterusan mengasak kubu Argentina dan hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-93, namun tandukan jarak dekat Nico Williams setelah menerima hantaran cantik Pedri diselamatkan Martinez. Dua minit kemudian, Williams berjaya menjaringkan gol tetapi ia dibatalkan kerana Mikel Merino terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran terhadap Nicolas Otamendi. Jaringan yang ditunggu-tunggu kem Sepanyol akhirnya hadir pada minit ke-106 selepas Ferran Torres meledakkan percubaan kaki kiri selepas menerima umpanan Williams dalam kawasan penalti untuk memisahkan kedua-dua pasukan. Torres hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-113 tetapi jaringannya dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid. Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk Sepanyol meraikan pesta memenangi kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah negara tersebut.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit :

Video : 


Tarziman — 20/07/2026,  04.31PM