Helikopter Mendarat Dekat Restoran Di Pulau Kapas, Pasir Masuk Dalam Makanan Pelanggan
Pelanggan Terkejut Bila Pasir Masuk Dalam Makanan
Suasana tenang di sebuah restoran resort di Pulau Kapas bertukar kecoh selepas sebuah helikopter didakwa mendarat dan berlepas terlalu hampir dengan kawasan pantai. Kejadian itu menyebabkan pasir berterbangan sehingga masuk ke dalam makanan dan minuman pelanggan yang sedang menjamu selera. Insiden berkenaan mula jadi perhatian selepas tiga rakaman video dimuat naik oleh pengguna media sosial, Mohd Fadhil Mrg, yang memaparkan helikopter itu berada di pesisir pantai berhampiran resort berkenaan.
Pelanggan Dan Pekerja Luah Rasa Tak Puas Hati
Berdasarkan rakaman yang tular, putaran bilah helikopter menghasilkan tiupan angin kuat sehingga pasir memenuhi kawasan sekitar termasuk ruang makan terbuka. Beberapa pelanggan dilihat cuba melindungi diri dan makanan mereka, manakala rakaman lain menunjukkan ada yang membersihkan pasir pada badan, pakaian serta barangan mereka sambil meluahkan rasa tidak puas hati kerana hidangan yang dipesan turut dicemari pasir. Kedengaran seorang individu berkata, “Semua dah masuk pasir, macam mana mahu makan?”
Pekerja Tuntut Ganti Rugi
Dalam satu lagi rakaman, seorang pekerja restoran dilihat bersemuka dengan individu yang dipercayai juruterbang helikopter berkenaan bagi menuntut ganti rugi susulan makanan dan minuman yang telah disediakan rosak akibat kejadian itu. Pekerja tersebut turut mendakwa operasi restoran terganggu selain menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan resort. Bagaimanapun, tujuan helikopter itu mendarat di kawasan berkenaan masih belum diketahui. Setakat laporan ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa, pengurusan resort atau pengendali helikopter berhubung insiden tersebut.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.