Myanmar Setuju Bawa Pulang 5,000 Pelarian Dari Malaysia Guna Kapal
5,000 Pelarian Bakal Dibawa Pulang Guna Kapal
Selepas sekian lama isu pelarian menjadi antara perkara yang hangat diperkatakan di Malaysia, kini ada perkembangan baharu apabila kerajaan Myanmar bersetuju untuk membawa pulang 5,000 pelariannya yang berada di negara ini menggunakan kapal. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Myanmar.
Menurut Mohamad, Kementerian Luar menerusi Wisma Putra akan bertindak sebagai pemudah cara dalam proses tersebut. Seramai 5,000 pelarian Myanmar juga sudah dikenal pasti dan proses membawa mereka pulang mahu dilakukan secepat mungkin selepas segala keputusan dan urusan berkaitan dimuktamadkan.
Myanmar Sedia Kapal, Tapi Siapa Tanggung Kos?
Walaupun Myanmar sudah menyatakan kesediaan untuk menyediakan kapal, soal kos dan urusan logistik masih belum selesai sepenuhnya. Perkara itu kini sedang diteliti dan dirunding antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kementerian berkaitan di Myanmar.
Bukan setakat soal kapal dan kos, Malaysia juga mahu kepastian mengenai keselamatan mereka selepas tiba semula di Myanmar. Ini kerana kumpulan yang bakal dihantar pulang melibatkan pelbagai etnik dari negara tersebut, termasuk etnik Chin dan kumpulan lain, bukannya Rohingya sahaja.
Malaysia Mahu Jaminan Mereka Selamat
Malaysia menegaskan bahawa keadaan keselamatan di Myanmar perlu dinilai terlebih dahulu sebelum proses penghantaran dilakukan. Dalam isu ini, Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN masih mahu dijadikan asas utama dalam menangani situasi di Myanmar.
Antara perkara yang digariskan dalam 5PC adalah menghentikan keganasan, memulakan dialog antara semua pihak, menggunakan wakil khas ASEAN untuk membantu proses tersebut, menyediakan bantuan kemanusiaan dan membenarkan wakil khas ASEAN bertemu pihak berkepentingan.
Kalau proses membawa pulang 5,000 pelarian ini berjaya dilaksanakan dengan selamat, ia boleh menjadi antara langkah awal dalam menguruskan isu pelarian di Malaysia. Namun, soal keselamatan mereka selepas kembali ke Myanmar tetap menjadi antara perkara utama yang perlu dipastikan terlebih dahulu.
Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”
Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat
PERHATIAN: Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.