Banglo berusia 106 tahun di Rawang yang sedang diperjuangkan sebuah keluarga daripada dirobohkan.
· ·

Keluarga Di Rawang Buat Rayuan Selamatkan Banglo 106 Tahun Daripada Dirobohkan

Dah 65 Tahun Keluarga Ini Tinggal Di Banglo Berkenaan

 Banglo berusia 106 tahun di Rawang yang sedang diperjuangkan sebuah keluarga daripada dirobohkan.

Sebuah keluarga di Rawang masih berusaha menyelamatkan banglo berusia 106 tahun yang sudah menjadi kediaman mereka sejak 65 tahun lalu. Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini menolak permohonan untuk menangguhkan perintah perobohan pada 11 Ogos. Rumah tersebut kini dijadualkan untuk dirobohkan pada 18 Ogos. Disebabkan itu, keluarga berkenaan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan dan memfailkan sijil segera. Wakil keluarga, Maljindar Singh Sidhu Brar atau Jimmy, berkata dia bersungguh-sungguh mempertahankan rumah itu kerana ia merupakan kediaman warisan keluarganya. Mahkamah Rayuan turut menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan mereka, iaitu pada hari yang sama rumah tersebut dijadualkan untuk dirobohkan. Ketika ini, Jimmy tinggal di banglo berkenaan bersama ibu, isteri dan dua anaknya.

Keluarga Dakwa Dah Mohon Tanah Sebanyak Tujuh Kali

Banglo berusia 106 tahun di Rawang yang sedang diperjuangkan sebuah keluarga daripada dirobohkan.

Menurut Jimmy, keluarganya bukan baru sekarang cuba mendapatkan hak milik tanah tersebut. Mereka sudah membuat permohonan sebanyak tujuh kali dan mendakwa usaha itu sudah berjalan sejak 1962. Setiap kali permohonan dibuat, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kawasan tersebut masih terikat dengan pajakan perlombongan. Keluarga itu kemudian diminta membuat permohonan semula selepas pajakan tamat. Dalam surat-menyurat terakhir dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jimmy dimaklumkan pajakan berkenaan akan tamat pada penghujung 2025. Namun pada awal tahun sama, keluarganya mendapat tahu pajakan itu sudah diperbaharui selama 20 tahun lagi sehingga akhir 2045. Jimmy berkata keluarganya sudah menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan hak milik hartanah itu, tetapi persoalan mengenai permohonan mereka masih belum terjawab.

Banglo Ini Dah Berdiri Sejak Tahun 1920

Banglo tersebut dibina pada 1920 oleh Berjuntai Tin Dredging Bhd, syarikat yang memegang pajakan perlombongan kawasan itu ketika berkenaan. Pada 1959, syarikat tersebut menjual hartanah itu kepada pekerjanya, Pologa Nathan. Dia kemudian menjualnya kepada nenek Jimmy, Gurtha Kaur. Keluarga berkenaan dilaporkan membuat permohonan untuk memperoleh tanah tersebut kepada Pejabat Tanah Kuala Kubu Bharu pada 1967, tetapi tidak menerima balasan. Jimmy berkata neneknya kemudian memindahkan kepentingannya dalam hartanah itu kepada keluarga pada 1989 melalui surat ikatan penyerahan hak. Bagaimanapun, ketika itu pajakan perlombongan tanah berkenaan sudah diberikan kepada dua syarikat pengeluar simen. Difahamkan, banglo lama itu turut mempunyai seni bina yang menggabungkan pengaruh Cina, Melayu dan Palladian. Kini, nasib rumah yang sudah berdiri lebih satu abad itu bergantung kepada proses rayuan keluarga berkenaan.

Baca juga : ‘Sebab You Pun Mat Salleh’ – Netizen ‘Sekolahkan’ Rhys William, Isu Warga Asing Di Malaysia Jadi Panas!”

Baca juga : “Bersyukur betul tinggal dekat Malaysia” – Netizen Puji LRT Selepas Melihat Stesen Metro Ini di Amerika Syarikat

PERHATIAN:  Pihak Osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.

Kredit : Free Malaysia Today

Video : 


Tarziman — 4:41PM