TikTok Kembali Beroperasi di Amerika Syarikat – Trump Tuntut 50% Hak Milik?
Sumber : The Rakyat Post
Pengguna TikTok di Amerika Syarikat akhirnya boleh menarik nafas lega selepas aplikasi popular itu kembali beroperasi pada 19 Januari. Namun, keputusan ini datang dengan satu kejutan besar – tuntutan Presiden Donald Trump agar negara itu memiliki separuh daripada aplikasi terkenal ini!
Trump, yang pernah menjadi antara suara lantang menyokong larangan aplikasi ini sebelum ini, kini beralih arah. Beliau mahu TikTok kekal di AS tetapi hanya jika ia memenuhi tuntutannya. Apa sebenarnya yang berlaku di sebalik drama ini?
TikTok Kembali Selepas Larangan Kontroversi
Sehari sebelum ini, iaitu pada 18 Januari, TikTok telah disekat sepenuhnya di AS, menyebabkan lebih 170 juta pengguna tidak dapat mengakses aplikasi tersebut.
Keputusan itu dibuat ketika pentadbiran Presiden Joe Biden selepas Mahkamah Agung AS memutuskan larangan TikTok tidak melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS.
Namun, keadaan berubah apabila TikTok mengumumkan di laman X (@TikTokPolicy) bahawa aplikasi itu kini aktif semula. Dalam kenyataan itu, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump atas usaha menyelamatkan TikTok.
“Kami berterima kasih kepada Presiden Trump kerana memastikan perkhidmatan kami tidak dikenakan penalti dan membolehkan lebih 170 juta rakyat Amerika kembali menikmati TikTok,” tulis kenyataan tersebut.
Trump Mahu AS Kuasai TikTok?
Menerusi platform Truth Social, Trump menyatakan hasratnya agar AS memiliki 50% daripada pemilikan TikTok. Beliau percaya ini akan meningkatkan nilai aplikasi tersebut sehingga mencecah trilion dolar pada masa hadapan.
“Dengan ini, kami menyelamatkan TikTok dan menjadikannya milik yang lebih kukuh,” tegas Trump.
Namun, TikTok setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan mengenai tuntutan Trump berkaitan pemilikan tersebut.
Undang-Undang yang Menekan ByteDance
Larangan terhadap TikTok bermula apabila pada Mac 2024, Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang yang memaksa ByteDance menjual aset TikTok di negara itu. Tindakan itu dilihat sebagai langkah menentang dakwaan bahawa Parti Komunis China menggunakan aplikasi tersebut untuk memanipulasi rakyat Amerika.
TikTok, bagaimanapun, menafikan sebarang hubungan dengan kerajaan China dan menegaskan bahawa data pengguna AS disimpan di bawah pengawasan bebas di negara itu.