· · ·

Pengguna Instagram Bawah 16 Tahun Perlu Kebenaran Ibu Bapa Untuk ‘Livestream’ – Meta

Platform sosial popular Instagram kini memperketatkan lagi kawalan ke atas pengguna muda apabila pengurusan Meta mengumumkan bahawa remaja bawah usia 16 tahun tidak lagi dibenarkan menggunakan fungsi siaran langsung (Live) tanpa kebenaran ibu bapa.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada kemas kini kepada ciri Teen Accounts, yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna remaja di seluruh dunia.


Usaha Lindungi Remaja Dari Risiko Sosial

META HADKAN CIRI SIARAN LANGSUNG UNTUK PENGGUNA INSTAGRAM BAWAH 16 TAHUN
Gambar sekadar hiasan Sumber internet

 

Dalam kenyataan rasmi, Meta menjelaskan bahawa kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang berinteraksi dengan individu tidak dikenali mendorong kepada pelaksanaan ciri perlindungan baharu ini.

“Kami tahu ramai ibu bapa bimbang anak mereka dihubungi orang luar di media sosial. Oleh itu, kami memperkenalkan sekatan baharu khususnya untuk fungsi Live dan kandungan tidak sesuai dalam mesej peribadi (DM),” kata wakil Meta.

Dengan perubahan ini:

Remaja bawah 16 tahun tak boleh buat Live tanpa izin ibu bapa

Mereka juga tak boleh tutup fungsi kabur automatik bagi imej lucah dalam DM tanpa kebenaran penjaga


Ciri Baharu Akan Diuji Di Negara Tertentu

Setakat ini, ciri keselamatan tersebut akan dilancarkan secara percubaan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia, sebelum dikembangkan ke lebih banyak negara.

Selain Instagram, penambahbaikan ini juga bakal diperluas ke platform lain milik Meta iaitu Facebook dan Messenger.

Baca Juga : YouTuber & Influencer Wajib Isytihar Pendapatan, Gagal Lapor Dianggap Jenayah – LHDN

Baca juga : ‘UNIQLO Malaysia Pilih untuk Diam’ – Diserang Dakwaan Tempat Kerja Toksik, Pekerja Luahkan Ketidakpuasan di Instagram

Sejak Bila Ciri Ini Diperkenalkan?

Teen Accounts mula diperkenalkan pada September 2024, bertujuan mengehadkan akses remaja kepada media sosial dan memberi kawalan lebih kepada ibu bapa. Ia merupakan sebahagian daripada pendekatan global dalam menangani kesan negatif media sosial terhadap kesihatan mental remaja.


Malaysia Juga Perketat Penggunaan Media Sosial

Di Malaysia, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini menyatakan bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial. Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia menutup akaun yang melanggar had umur yang ditetapkan.


Risiko Kesihatan Mental Dalam Kalangan Remaja

Menurut Prof Madya Jessica Ong Hai Liaw dari UPNM, komen negatif di media sosial boleh memberi kesan psikologi kepada remaja. Ia berpotensi mencetuskan depresi, kebencian terhadap diri sendiri, dan gangguan emosi jika tidak dikawal.

“Adab dalam media sosial mempengaruhi emosi. Bila terlalu banyak kebencian, ia akan menyerap ke dalam peribadi individu, terutamanya remaja yang masih dalam fasa pembentukan identiti,” jelasnya.

Penutup

Langkah Meta ini dilihat sebagai usaha serius untuk memastikan pengalaman media sosial yang lebih selamat dan terkawal bagi remaja. Dengan sokongan ibu bapa, diharapkan remaja mampu memanfaatkan media sosial secara sihat dan bertanggungjawab.



Sumber : Meta