· · ·

Rundingan Gagal, AS Naikkan Tarif Import Indonesia Hingga 47%

Usaha Indonesia untuk merundingkan semula tarif import dengan Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu apabila Washington mengumumkan kenaikan tarif import terhadap produk dari negara itu — dari 32% kepada 47%.

Delegasi Indonesia yang diketuai Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, telah bertemu dengan Duta Jamieson Greer daripada Wakil Perdagangan AS (USTR) di Washington untuk membincangkan perkara tersebut, namun hasilnya ternyata mengecewakan.

Beban Tarif Tertinggi di Asia Tenggara

Dilaporkan oleh detikfinance, kenaikan tersebut menjadikan Indonesia sebagai negara yang menanggung tarif tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara. Dasar baru ini dilancarkan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada kempen ekonomi dikenali sebagai Liberation Day Tariffs.

Meskipun terdapat potongan sementara sebanyak 10% untuk tempoh 90 hari, sektor utama seperti tekstil dan pakaian masih dikenakan tarif antara 10 hingga 37%. Apabila digabungkan dengan kenaikan baru ini, eksport Indonesia berdepan kos yang boleh mencecah 47% – satu beban besar untuk mana-mana pengeksport.

Baca Juga : Pelakon Indonesia Sekar Arum Kantoi Guna Duit Palsu, Ditahan Ketika Shopping

Baca juga : Azealia Banks Gelar dan Hina Indonesia Sebagai ‘Tong Sampah Dunia’ Sama Seperti India

Airlangga: Ini Tidak Adil!

Menurut Airlangga dalam sidang media maya pada 18 April 2025, beliau meluahkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang kenaikan ini terhadap eksport negara.

“Kos tarif ini akan dikongsi dengan pembeli dan pengeksport. Ini menjadikan produk kita kurang kompetitif berbanding negara-negara jiran yang menerima kadar lebih rendah.”

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan AS itu tidak sejajar dengan prinsip perdagangan adil, memandangkan banyak negara pesaing Indonesia mendapat layanan lebih baik dari segi kadar tarif.

Indonesia Mahu Tarif Lebih Adil

Dalam rundingan tersebut, Airlangga memohon supaya tarif yang dikenakan disemak semula agar sejajar dengan kadar yang diberikan kepada negara-negara ASEAN lain. Indonesia mahu memastikan produknya tidak ketinggalan dari segi daya saing global.

“Kami tegaskan bahawa selama ini tarif yang dikenakan kepada Indonesia tidak adil. Kami mahukan keadilan — bukan kelebihan, tapi layanan setara,” tambah beliau.

Sumber : finance.detik.com