YouTuber Dedah Kilang Di Indonesia Guna Sampah Sebagai Bahan Bakar Goreng Tauhu
Satu pendedahan mengejutkan telah dibuat oleh YouTuber Andrew Fraser apabila beliau berkongsi video mengenai kilang pembuatan tauhu di Surabaya, Indonesia, yang menggunakan sampah plastik sebagai bahan bakar untuk menggoreng tauhu.
Menerusi dokumentari tersebut, Fraser menunjukkan bagaimana longgokan plastik dan kain terbuang digunakan secara langsung dalam pembakaran untuk memasak tauhu. Apa yang lebih mengejutkan, proses ini dilakukan tanpa sebarang sistem penapisan asap atau keselamatan makanan.
“Apa yang saya lihat sangat mengejutkan. Sampah plastik, potongan kain dan sisa tidak terurai terus dibakar, menjadikan asap pembakaran itu sebahagian daripada proses memasak. Tauhu tersebut kemudian diangkat menggunakan penapis daripada kipas angin rosak,” kata Fraser.
Baca Juga :Malaysia Bantu Indonesia Bangunkan Kota Nusantara – ‘Terima Kasih Pak!’
Baca juga : Jakim Arah Tarik Balik 11 Produk Makanan Indonesia Kerana Ada Unsur DNA Babi
Rasa Enak Tapi Bahaya Kesihatan
Menurutnya, walaupun tauhu yang dihasilkan dikatakan enak dari segi rasa, kaedah memasaknya boleh mendatangkan risiko serius terhadap kesihatan pengguna.
“Kontaminasi bahan kimia dari plastik sangat berisiko. Saya telah melawat sekitar 30 kilang dan hanya segelintir yang masih guna kayu. Kebanyakan sudah beralih ke plastik kerana kos yang murah,” katanya lagi.
Fraser juga menekankan bahawa asap daripada pembakaran plastik bukan sahaja mencemarkan makanan, malah boleh menyebabkan pencemaran udara yang teruk di kawasan sekitar.
Tindakan pendedahan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen, terutamanya mengenai tahap keselamatan makanan dan kesedaran dalam kalangan pengguna di rantau ini.
Sumber : Viva.Co.id
By Tarziman — 02 May 2025, 02:09 PM