· · ·

Bekas Pemain Hoki Remaja Malaysia Ditemui Dalam Keadaan Kurang Siuman

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki berkeliaran tanpa kasut di sekitar ibu kota dalam keadaan seperti tidak waras, mencetuskan rasa simpati orang ramai.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Mohamad Asmawi Zaidi, yang suatu ketika dahulu merupakan bintang muda dalam dunia hoki negara. Beliau pernah menyarung jersi skuad Malaysia Bawah 16 Tahun dan telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan antarabangsa seperti di Jerman, India dan Pakistan.

Asmawi mula bermain hoki seawal usia 12 tahun dan pernah mencipta nama di peringkat kebangsaan. Ketika Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Remaja Dunia 2009 di Johor Bahru, beliau turut tersenarai dalam skuad negara.

Mengesahkan identitinya, seorang rakan sepasukan yang pernah bermain bersama Asmawi semasa Sukan Malaysia (Sukma) dan menuntut di Sekolah Sukan Bandar Penawar (kini Sekolah Sukan Tunku Ismail – SSTMI) berkongsi kesedihan melihat keadaan sahabat lamanya.

“Memang benar, lelaki yang dilihat meracau itu ialah Asmawi. Kami pernah berjuang bersama dalam pasukan Terengganu dan ke luar negara untuk wakili negara. Dia dulu ceria dan sangat berbakat,” katanya.

Baca Juga :“Janganlah ambil serius sangat tau, saya tak marah pun, tu muka saya cuak atau cemas.” – Datuk Siti Nurhaliza

Baca juga : Siti Nurhaliza terima panggilan scammer ketika live di TikTok, reaksi selamba buat ramai terhibur

Rakan tersebut turut menyatakan bahawa tekanan hidup mungkin menjadi punca utama perubahan drastik Asmawi.

Difahamkan, Asmawi kini berusia 36 tahun dan telah meninggalkan dunia hoki sekitar usia 25 tahun untuk pulang ke kampung halamannya.

Tambah rakan tersebut lagi, ini bukan kali pertama Asmawi menghadapi masalah kesihatan mental. Sekitar lima tahun lalu, dia pernah menerima rawatan dan keadaannya pulih untuk seketika.

Namun kini, keadaannya kembali memburuk. Rakan-rakan dan orang ramai merayu agar pihak bertanggungjawab segera menghulurkan bantuan kepada bekas atlet negara ini sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Sumber : Instagram

By Tarziman — 08 May 2025,  03:13 PM