· · · · · ·

Harga emas diramal terus melonjak, pakar jangka cecah RM500 segram hujung tahun

Harga emas dijangka terus mencatatkan peningkatan sehingga hujung tahun ini berikutan beberapa faktor utama yang mempengaruhi pasaran global. Menurut pakar ekonomi, peningkatan ini turut berkait rapat dengan kejatuhan harga komoditi lain yang sedang berlaku di pasaran dunia.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) menjelaskan bahawa faktor utama yang mendorong kenaikan harga emas adalah dasar monetari global yang longgar, ketidakpastian fiskal, serta keadaan geopolitik yang tidak stabil.

Menurut beliau, kenaikan harga emas adalah perkara biasa apabila harga komoditi seperti petroleum dan minyak mentah merosot di pasaran global. Keadaan ini secara tidak langsung mendorong peningkatan permintaan terhadap emas sebagai pilihan pelaburan yang lebih selamat.

“Apabila harga komoditi seperti petroleum atau minyak mentah jatuh, harga emas akan naik. Situasi ini juga dipengaruhi oleh kitaran kenaikan harga emas yang kini memasuki fasa 30 tahun. Walaupun ia bukan pusingan mutlak, namun pola ini sering berlaku berdasarkan faktor sekeliling yang mempengaruhi pasaran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam keadaan tidak menentu seperti sekarang, emas menjadi pilihan utama bagi pelabur yang ingin mencari aset yang stabil dan selamat daripada risiko inflasi.

“Pelabur memilih emas kerana ia dianggap aset lindung nilai yang kukuh ketika ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu,” tambahnya.

Pada Sabtu lalu, harga emas 999 mencatatkan rekod tertinggi tahun ini dengan mencecah RM463 segram. Semakan di laman web Public Gold menunjukkan peningkatan sebanyak RM2 berbanding harga sehari sebelumnya yang mencatatkan RM461 segram.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim turut bersetuju dengan ramalan tersebut. Menurutnya, harga emas berkemungkinan besar bakal mencecah RM500 segram menjelang hujung tahun ini jika trend semasa berterusan.

Menurut Dr Mohd Faisol, peningkatan harga emas didorong oleh lonjakan permintaan yang bukan sahaja datang daripada individu, malah turut melibatkan institusi kewangan, syarikat besar, dan juga kerajaan beberapa negara.

“Permintaan terhadap emas meningkat kerana emas merupakan aset yang tahan lama, kalis inflasi, serta selamat untuk disimpan. Selain itu, ketidaktentuan ekonomi yang dicetuskan oleh dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini turut memberi kesan besar terhadap kenaikan harga emas,” jelasnya.

Dr Mohd Faisol turut menjelaskan bahawa walaupun emas dilihat sebagai aset yang menarik, pelaburan ini lebih sesuai untuk tujuan jangka masa panjang berbanding keuntungan segera.

“Pelaburan emas bukan untuk keuntungan dalam tempoh singkat kerana harga emas cenderung meningkat secara konsisten dalam tempoh masa yang panjang. Justeru, jika seseorang ingin membeli emas untuk pelaburan, mereka disarankan untuk membeli emas apabila harganya turun kerana kejatuhan harga emas biasanya berlaku dalam jangka masa pendek sebelum melonjak semula,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa individu yang bercadang untuk membeli emas seharusnya melihat faktor kemampuan kewangan mereka terlebih dahulu.

“Beli emas ketika anda mempunyai modal yang mencukupi tanpa mengira harga emas semasa, kerana trend menunjukkan harga emas akan terus meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.