Gunung Rinjani Terima Rating 1 Bintang Di Google Lepas Insiden Pendaki Malaysia & Brazil Jatuh
Gunung Rinjani Terpalit Kontroversi Selepas Dua Insiden Tragik
Gunung Rinjani, yang terkenal sebagai antara destinasi mendaki paling ikonik di Asia Tenggara, kini menjadi tumpuan kritikan selepas dua kejadian serius membabitkan pendaki antarabangsa — satu membawa maut dan satu lagi menyebabkan kecederaan parah.
Susulan tragedi itu, netizen — terutamanya dari Brazil — bertindak menyerbu Google Maps dan memberikan rating satu bintang, sekali gus menjejaskan reputasi lokasi pelancongan tersebut secara global.
Insiden Pertama: Pendaki Brazil Maut Jatuh 600 Meter
Insiden pertama berlaku pada Sabtu, 21 Jun lalu melibatkan Juliana Marins, wanita warga Brazil berusia 27 tahun yang terjatuh dari tebing setinggi 600 meter di kawasan Palawangan Sembalun, Gunung Rinjani.
Mayatnya hanya berjaya ditemui dan dievakuasi empat hari kemudian pada 25 Jun.
Tragedi ini mendapat liputan meluas media antarabangsa, dan mencetuskan kemarahan warga Brazil yang menganggap terdapat kelemahan serius dalam aspek keselamatan di kawasan pendakian tersebut.
Ratusan pengguna menyerbu Google Maps dan meninggalkan ulasan beremosi sebagai tanda protes terhadap pengurusan lokasi pelancongan itu.
Baca juga : Gunung Jingshan Diiktiraf Sebagai Gunung Paling Rendah Di Dunia, Hanya Setinggi 60cm. Tapi?
Baca juga : Geosesarma Bunian: Penemuan Spesies Ketam Baharu Yang Sembunyi Lebih 1,000 Meter Tinggi Di Kedah
Insiden Kedua: Pendaki Malaysia Terjatuh, Cedera Parah
Beberapa hari selepas insiden pertama, seorang pendaki dari Malaysia pula terjatuh kira-kira 200 meter ketika dalam perjalanan menuju ke Danau Segara Anak pada Jumaat lepas.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang pinggul dan luka di kepala, namun masih mampu berjalan dan telah diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke pos kawalan terdekat.
Pihak Berkuasa Taman Negara Rinjani Beri Penjelasan
Ketua Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), Yarman, menegaskan bahawa operasi menyelamat dijalankan mengikut standard keselamatan sedia ada.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa Gunung Rinjani merupakan kawasan berisiko tinggi dan tidak boleh dipandang ringan oleh pendaki, sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
“Pendakian Rinjani bukan seperti mendaki bukit biasa. Ia memerlukan persediaan fizikal, mental dan teknikal yang tinggi,” katanya.
Netizen Seru Penambahbaikan Segera
Walaupun Rinjani kekal sebagai destinasi mendaki yang menawan, dua insiden berturut-turut ini telah menggugat kepercayaan komuniti pendaki antarabangsa.
Netizen menyeru agar pihak berkuasa Indonesia melakukan penambahbaikan serius, terutama dalam aspek keselamatan, tanda amaran, dan pemantauan trek, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang pada masa depan.
PERHATIAN: Pihak osedapdotcom tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang komen yang ditulis oleh para pembaca. Pastikan anda berfikir secara matang sebelum meninggalkan sebarang komen di sini. Pihak osedapdotcom juga tidak berupaya untuk memantau semua komen yang dipaparkan. Segala komen adalah tanggungjawab anda sendiri.
Sumber : Detik
B Tarziman — 01/07/2025, 1: 56PM



