Rakyat Malaysia Beratur Dengan Tertib Untuk Ambil Kek Di Acara Cake Picnic
Rakyat Malaysia Curi Perhatian Dunia Di Acara ‘Cake Picnic’
Satu trend yang semakin tular di media sosial dikenali sebagai “cake picnic” telah mencuri perhatian ramai apabila ia mengumpulkan peminat kek dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi dan menikmati pelbagai jenis kek dalam suasana santai dan penuh estetik.
Konsep acara ini mudah – setiap peserta membawa sebiji kek utuh dan sebagai ganjaran, mereka boleh merasa kek-kek lain yang dibawa peserta lain. Ia seperti majlis potluck, tetapi berfokuskan kek semata-mata.
Video Malaysia Jadi Tular Di Seluruh Dunia
Dalam video dari pelbagai negara seperti Nigeria, suasana kelihatan huru-hara apabila peserta berebut kek hingga tidak terkawal. Ramai mengambil kek menggunakan tangan, tanpa peduli giliran atau kebersihan. Meja kek berakhir dengan sisa berselerak dan kek yang licin tanpa sempat dikongsi secara adil.
Namun, apa yang mencuri tumpuan warganet antarabangsa ialah sebuah video dari Malaysia yang memperlihatkan peserta beratur dengan begitu sopan dan berdisiplin. Mereka mengambil kek satu persatu, mengikut giliran, dan meja kek masih kelihatan teratur dan bersih walaupun dikerumuni ramai.
Baca juga : Cikgu Shaari Tegas: Duit & Cincin Itu Hanya Untuk Nabila, Bukan Untuk Dikongsi
Baca juga : PATI Semakin Ramai Di Sabah, Imigresen Dah Tak Larat Tanggung
Warganet Antarabangsa Kagum Dengan Sikap Rakyat Malaysia
Tindakan peserta Malaysia itu menerima pujian ramai. Ada yang menyatakan kekaguman terhadap budaya tertib yang diamalkan rakyat Malaysia walaupun dalam situasi yang biasanya menjadi rebutan.
“Saya baru sahaja menonton ‘Malaysia cake picnic’, korang sangat memalukan,” ujar seorang warganet Nigeria, selepas membandingkan video dari negaranya sendiri dengan video dari Malaysia.
“Selepas menonton ‘Nigeria cake picnic’, ini adalah satu kelegaan yang amat menyegarkan,” kata seorang lagi.
Ada juga yang menyentuh soal pakaian peserta Malaysia yang kelihatan seragam dan estetik, menjadikan acara itu bukan sahaja teratur, tetapi juga ‘classy’ dan menyeronokkan.
Contoh Teladan Untuk Dunia
Apa yang lebih menarik perhatian, peserta Malaysia juga hanya mengambil potongan kek yang sederhana, cukup untuk merasa, tanpa tamak. Ini memastikan semua peserta dapat merasa kek yang dibawa.
Rakyat Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa nilai kesopanan, budi bahasa dan toleransi masih kuat dalam budaya kita – sesuatu yang patut dibanggakan dan dijadikan contoh oleh komuniti antarabangsa.


