‘Ini Perkara Serius’ – Pakar Akademik Bimbang Trend Kanak-Kanak Kuasai Bahasa Inggeris Dahulu
Bahasa Inggeris Semakin Dominan, Bahasa Melayu Semakin Terpinggir?
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Azizah Zain menyuarakan kebimbangan terhadap trend kanak-kanak sekolah rendah di kawasan bandar yang lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama.
Menurut beliau, walaupun penguasaan bahasa Inggeris adalah penting, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak sepatutnya diketepikan.
“Memang betul bahasa Inggeris penting, tetapi apabila ia menjadi bahasa utama dalam komunikasi harian, kita perlu bertanya, adakah ini menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?” katanya kepada Harian Metro.
Hilang Nuansa Budaya & Jati Diri Bangsa
Dr Azizah menekankan bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut mengandungi nilai budaya dan jati diri bangsa yang tidak boleh didapati dalam bahasa lain.
“Kanak-kanak yang lebih selesa berbahasa Inggeris mungkin kehilangan nuansa budaya dan nilai-nilai yang terkandung dalam bahasa Melayu.”
Baca juga : Amira Othman Akui Fattah Amin Antara Kawan Lelaki Yang Rapat
Baca juga : Amira Othman kongsi video Fattah Amin buat trend TikTok di restorannya. Netizen tak sangka ‘Kak Long’ selamba up content ‘dugem’ macam tu!
Tambah beliau lagi, dari segi perkembangan kognitif, penguasaan dua bahasa memang memberikan kelebihan, namun hierarki bahasa perlu diberi perhatian.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi asas yang kuat terlebih dahulu sebelum kanak-kanak menguasai bahasa kedua.”
Risiko Tak Faham Konsep Dalam Bahasa Ibunda
Dr Azizah turut menjelaskan bahawa apabila Bahasa Inggeris menjadi dominan terlalu awal, ia boleh menjejaskan kebolehan kanak-kanak untuk membangunkan kemahiran berfikir secara mendalam dalam Bahasa Melayu.
“Keadaan itu boleh menjejaskan pemahaman terhadap konsep yang hanya boleh dihayati melalui bahasa ibunda.”
Walaupun beliau mengakui terdapat kesan positif seperti keyakinan dalam komunikasi global dan akses kepada maklumat, risiko kehilangan jati diri masih wujud.
“Saya percaya kanak-kanak yang kukuh dalam bahasa Melayu kemudian menguasai bahasa Inggeris akan lebih berkesan.”
Saranan Kepada Ibu Bapa dan Sekolah
Sebagai jalan penyelesaian, Dr Azizah menyarankan ibu bapa untuk memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai asas di rumah.
“Ajar anak berfikir dalam bahasa Melayu, perkenalkan kekayaan sastera Melayu seperti pantun, syair, dan cerita rakyat.”
Beliau juga menggesa pihak sekolah untuk menegaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, manakala Bahasa Inggeris diajar sebagai subjek tambahan.



